Monday, July 04, 2011

BERSIH 2.0: KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman BERSIH 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan BERSIH 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham initelah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi olehpihak berkuasa.PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihanraya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihanraya umum diadakan. Sejak Sekian lama ini,kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia

4 Julai 2011/ 2 Syaaban 1432 H

No comments:

Post a Comment