Friday, April 09, 2010

SEBELUM BERJANJI DI HULU SELANGOR: SELESAIKAN MASALAH SEKOLAH BOCOR DI SJKT BUKIT DARAH.


Parti Islam Se-Malaysia Pas (PAS) mendesak supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya menyelesaikan masalah sekolah SJKT di Bukit Darah dekat dengan Sungai Buluh. Sekolah yang begitu dhaif dengan bumbung bocor dan struktur bangunan yang merbahaya kepada pelajar.

Menurut laporan Utusan Malaysia online (6/4/10) Guru Besar SJKT Bukit Darah, A. Rajendra Devi berkata dia mula mengenalpasti keadaan itu sejak memulakan tugas di situ pada tahun 2006. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja dihadapi murid-murid tetapi juga guru-guru kerana setiap kali musim hujan ia begitu membimbangkan.Beliau mengakui agak terkejut dengan maklum balas yang diterima bahawa peruntukan RM150,000 untuk sekolah berkenaan telah habis digunakan.

Apakah pihak kerajaan Umno/BN akan memperbaiki apabila ada pilihanraya kecil sahaja. Pemimpin Umno/BN menjadi buta mata apabila tidak ada pilhanraya kecil, mereka celik hanya apabila ada pilihanraya. Malahan ada bangunan sampai berkali-kali dirasmi sempena kempen pilhanraya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengharapkan pemimpin Umno/BN jangan menambahkan senarai yang bakal tidak ditunaikan kepada rakyat dalam setiap kali pilihanraya kecil. Walaupun peruntukan sudah diluluskan sebanyak RM150 ribu, namun tidak ada apa-apa perubahan fizikal yang dibuat. Pas meminta supaya satu siasatan mesti dibuat untuk menyiasat perkara ini. Pihak SPRM mesti bertindak untuk menyiasat laporan mengenai peruntukan wang sudah diluluskan tetapi projek tidak berjalan dan wang sudah habis.

PAS ingin menasihati pemimpin Umno/BN usahlah berjanji banyak sangat dalam pilhanraya kecil Hulu Selangor ini. Jangan menambahkan senarai pembohongan dan janji kosong dalam setiap kali pilihanraya. Kalau SJKT yang sudah lama pun tidak terbela bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin boleh berjanji untuk mendirikan empat sekolah baru di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

PAS mengharapkan semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor sekali lagi bangkit menolak calon BN, supaya tercatat lagi satu sejarah keberanian pengundi di Hulu Selangor yang akan menjadi guru politik di negara ini. Bahasa undi sahaja yang pemimpin yang rakus ini boleh faham, mereka tidak faham dengan undang-undang, tidak faham dengan dialog ilmiah, tidak faham dengan teguran di parlimen tetapi akan faham dengan bahasa undi.



Ustaz Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan Pas Pusat

Tuesday, April 06, 2010

Lagi gambar2 Mesyuarat Agung Pas Temerloh

YDP Pas Temerloh, Ustaz Rahim Latiff sedang menyampaikan ucapanya.


Turut serta ialah Tuan Syed dari Pejabat Agung Pas Pusat ( Dihadapan bersongkok)


Ustaz Osman Mempengerusikan mesyuarat menggantikan Pengerusi Tetap yg tidak hadir.



Monday, April 05, 2010

Najib Akui Kerajaan Tiada Duit


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) persoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui bahawa asas perolehan negara pada masa ini tidak kukuh dan Kerajaan tidak mampu untuk membayar gaji penjawat awam, sedangkan pada akhir tahun lepas kerajaan bangga mengumumkan bahawa ekonomi berkembang dengan baik iaitu 4.5 peratus dan tahun ini dijangka melebihi 5.5 peratus pula.

Najib terdesak membuat pengakuan itu demi untuk menarik perhatian kakitangan awam untuk menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditolak oleh majoriti rakyat. Kenyataan Najib itu membuka pekung pemerintahannya yang kini sedang sibuk menabur duit di Hulu Selangor sempena pilihanraya kecil.

Tindakan Najib memaksa kakitangan awam menyokong dasar ini secara membuta tuli adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini dimana setiap warganegara berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu menyokong atau tidak.

Tidak guna gaji kakitangan Kerajaan dinaikan sedangkan dalam masa yang sama cukai GST diperkenalkan. Jika GST dilaksanakan, keadaan ekonomi kakitangan awam mungkin lebih teruk kerana kenaikan gaji hanya sekitar RM200-RM500 sahaja sedangkan pertambahan kos sara hidup berkemungkinan meningkat lebih dari kadar itu.

Najib juga dilihat zalim kerana menjadikan kakitangan kerajaan sebagai 'hamba' yang kena terima apa sahaja yang kerajaan ingin lakukan. Oleh itu, kakitangan kerajaan harus bijak dan menolak dasar ini. Kerajaan boleh tangguhkan kenaikkan gaji sehingga ekonomi pulih sepenuhnya tanpa perlu perkenalkan cukai baru.

Jika GST dilaksanakan, bukan sahaja 1.2 juta kakitangan awam akan jadi mangsa, lebih 25 juta rakyat Malaysia akan terima kesannya. Pekerja swasta yang tidak mendapat kenaikan gaji akan menerima kesan yang lebih teruk, kerana kos hidup mereka secara purata bertambah 4 peratus.

Oleh itu PAS berharap agar kakitangan Kerajaan tidak menurut sahaja kehendak Najib. Jika dasar ini dilaksanakan bersama Model Ekonomi Baru, maka rakyat negara ini akan lebih sengsara. Ketiadaan syarat ekuiti tempatan akan menyebabkan pasaran negara akan datang dimonopoli oleh pelabur dan perniagaan asing. Dan pastinya mereka tidak peduli kesusahan rakyat dinegara ini dan mereka boleh kuasai harga jual beli pasaran dalam negara dengan mudah. Jika mereka naikan harga, maka nilai 4 peratus cukai GST juga naik. Kerajaan tidak mampu kawal perkara ini, malah Kerajaan kini cuba juga untuk hapuskan subsidi bagi melepaskan diri dari tanggungjawab membantu rakyat. Jadi bayangkanlah harga gula, beras, minyak tanpa subsidi tapi ditambah dengan cukai GST 4 peratus.

Tidak cukup dengan itu, dengan begitu banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), pelabur dan peniaga tempatan juga akan bungkus kerana tidak dapat bersaing kerana harga barang mereka akan jadi lebih mahal jika dicampur dengan GST, berbanding harga barang China yang lebih murah kos pembuatannya.

Jadi, GST bukan sahaja akan beri kesan kepada Kakitangan kerajaan, ia akan memberikan kesan kepada seluruh sistem ekonomi negara. PAS tetap akan menentang dasar ini untuk kepentingan rakyat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Saturday, April 03, 2010

Sekitar Mesyuarat Agung Pas Kawasan Temerloh

Pas kawasan Temerloh hari ini berjaya mengadakan Mesyuarat Agungnya utk kali yg ke 23.Mesyuarat dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato` Taqiyuddin Hassan.Beliau banyak menekankan aspek2 pengurusan sesuai dgn latar belakang beliau yg selalu memegang jawatan Setiausaha.
Sebelum itu ucapan aluan oleh Ustaz Abdul Rahim Latif selaku YDP Kawasan Temerloh.Para perwakilan dan pemerhati dari seluruh kawasan Temerloh memenuhi Balai di Sg Gau ini.

Thursday, April 01, 2010

MODEL EKONOMI BARU


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.


Sesebuah negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.



MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam. Objektif ini sangat murni – tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar.



MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri , di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.



Apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.



Selain dari itu juga, penerusan sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

15 Rabiul Akhir 1431 / 31 Mac 2010