Wednesday, August 17, 2011

BM sudut pandangan Bukan Melayu

Ramai pelajar lemah bahasa Melayu
Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my
2011/08/17

Isu kurang dibincang berbanding gagal kuasai bahasa Inggeris

PERSOALAN kegagalan penguasaan bahasa Inggeris yang baik oleh kebanyakan pelajar Malaysia selepas 13 tahun mempelajarinya, ikut mencetuskan pelbagai soalan, selain mengundang banyak komen. Ada yang menyoal keberkesanan kurikulum bahasa Inggeris sedia ada, kesesuaian dasar baru untuk memartabatkan bahasa Melayu, memperkukuh bahasa Inggeris dan kebijaksanaan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada awal tahun ini.
Ada juga yang mencadangkan pengembalian sekolah aliran Inggeris, menyalahkan guru yang dikatakan tidak cekap, mengaitkan sikap negatif pelajar dengan pen-capaian yang lemah dan menuduh Kementerian Pelajaran enggan mewajibkan kelulusan mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Kita boleh terus menyoal dan mengulas persoalan ini, lebih-lebih lagi untuk mempromosikan bahasa Inggeris. Sebetulnya pada masa sama, kebanyakan pelajar kita termasuk Melayu sendiri, apatah lagi yang bukan Melayu juga tidak menguasai bahasa Melayu iaitu bahasa negara ini dengan baik. Namun, hal ini tidak banyak diperkata dan kalau cuba diperkata, ia tidak mendapat sambutan serta tempat untuk dibincangkan dengan rinci.


Sebenarnya, persoalan ketiadaan kecekapan berbahasa Inggeris, pengetahuan dan penguasaan rendah terhadap bahasa Melayu, termasuk kegagalan memahami sejarah tanah air oleh kebanyakan pelajar antara tanda dan gejala kemerosotan sistem pendidikan kita. Hal ini dapat dilihat pada bahkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang. Kebanyakan mereka tidak mampu menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris, tidak cekap berbahasa Melayu persuratan ketika bercakap dalam situasi formal, dan tidak memahami hubung kait peristiwa lampau negara yang penting dengan masa kini baik dalam konteks tempatan mahupun sejagat. Kelemahan sistem pendidikan kita disedari kerajaan dan sedang dikaji semula untuk diperbaiki. Dalam konteks kecekapan berbahasa Inggeris, kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa kecekapan yang bakal generasi muda kita peroleh, mungkin tidak dapat menandingi tahap yang diperlihatkan golongan lama. Ini antaranya adalah pada masa dulu, bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar, manakala kini ia hanya satu mata pelajaran.

Walaupun begitu, dengan penekanan serius kerajaan melalui pelbagai usaha pendidikan untuk memastikan generasi muda cekap berbahasa antarabangsa yang paling penting ini, golongan ini dengan sikap belajar yang betul serta bimbingan dedikasi guru, pasti memperlihat kecekapan yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang. Dalam pada kita berikhtiar untuk menguasai bahasa Inggeris pada tahap baik, kita tidak boleh sekali-kali mengetepikan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik oleh rakyat Malaysia bukan saja penting, tetapi wajib. Bahasa Melayu adalah maruah dan citra, selain jati diri bangsa dan negara. Maruah bahasa Melayu terletak pada martabatnya.


Ikut bersikap begini ialah pihak media, antaranya akhbar bukan bahasa Melayu yang kurang bersedia untuk memberi liputan adil mengenai bahasa ini. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa leluhur, etnik dan ibunda orang Melayu, dianggap sebagai kualiti bangsa Melayu. Justeru, ia adalah tanggungjawab dan kewajipan bangsa Melayu saja.


Dalam kes bahasa Melayu di Malaysia, ideologi begini adalah salah. Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sehubungan ini, martabatnya hendaklah dipertahan setiap masa oleh semua warga negara.

Oleh itu, ia perlu diperlakukan dengan penuh tertib, sesuai dengan syiarnya sebagai bahasa utama di negara ini. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah selalu diutamakan dan tidak boleh diketepikan dalam sebarang ranah penggunaan yang sememangnya menjadi hak dan kuasanya.Perilaku kita semua terhadap bahasa Melayu, khususnya yang bertentangan dengan syiarnya, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tanggapan.


Oleh itu, tindakan yang boleh merendahkan citra bahasa Melayu hendaklah dihindari kerana ia boleh ikut merendahkan citra kita semua sebagai bangsa berharga diri dan negara berdaulat.Sesungguhnya dalam bahasa Melayu tersimpan nilai, salasilah serta akar kita sebagai bangsa Malaysia.

Dengan ini, hanya bahasa Melayu mampu memberi capaian langsung kepada warisan budaya serta pandangan dunia kita sebagai bangsa Malaysia, untuk melengkapi dan juga menolak perspektif yang disaji oleh tamadun lain. Bahasa Melayu juga satu-satunya warisan budaya yang dengan penuh keyakinan dan pengertian, boleh bukan saja mempertahan tetapi menjamin kemuliaan kita sebagai satu bangsa bermaruah dan negara yang berdaulat

YB & PAS KAWASAN TEMERLOH EDAR BUBUR LAMBUK



TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh dengan kerjasama pejabat ADUN Kuala Semantan kelmarin telah mengedarkan bubur lambuk kepada pelbagai kaum dilaluan sibuk kawasan perumahan jalan Bahagia. Edaran bubur lambuk ini dibuat sempena bulan Ramadhan mubarak sejak 3 tahun lepas. Ia adalah tradisi pihak PAS Kawasan bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan untuk menyantuni rakyat.

Lokasi edaran adalah di laluan sibuk jalan utama perumahan Jalan Bahagia cukup baik dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai. Turut hadir adalah YDP Kawasan Tn Hj Md Jusoh Darus, SU PAS Kawasan En Ahamd Zuber Omar, Sdr Cikgu Abd Majid Hassan, Ust Osman Bakar , Ust Fairus Hisham Nordin dan bersama-sama beberapa orang ahli jawatankuasa PAS Kawasan lain serta Amal PAS Kawasan.

Program ini dimulakan pada jam 5.30 petang dan berakhir jam 6.30 petang.

'Kita amat berbangga dengan sikap dan sambutan masyarakat pelbagai peringkat dan kaum yang tidak kekok untuk berinteraksi dengan Ahli Dewan Udangan Negeri Semantan. Dan insyallah pada tahun hadapan kita akan melibatkan penyertaan ahli-ahli DAP setempat atau masyarakat Tionghua bagi memeriahkan serta menzahirkan semangat pemaufakatan bulan ramadhan yang mulia ini, ujar beliau.




Thursday, August 04, 2011

Program Ramadhan PAS Temerloh padat

Sempena Bulan Ramadhan 2011, PAS Kawasan Temerloh telah merangka pelbagai Program Semarakkan Ramadhan. Program Santuni Rakyat oleh PAS Kawasan ini telah dilakukan sepanjang bulan puasa dengan menurunkan semua kepimpinan PAS ke seluruh cawangan PAS bersama masyarakat setempat.

Program ini bermula dengan majlis berbuka, solat maghrib berjemaah, tazkirah, solat sunat terawih dan diakhiri dengan bantuan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Pihak PAS menyediakan peruntukan khas daripada dana yang dikumpulkan oleh para dermawan yang perihatin.

Sementara itu, YB Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohammad mempunyai jadual yang padat sepanjang bulan Ramadhan.

Rutin sebagai wakil rakyat dilakukan seperti biasa. Manakala sebelah malam beliau bersama pimpinan kanan PAS bersolat sunat terawih setiap malam bergilir-gilir di seluruh masjid di dalam DUN Semantan. Antara masjid yang telah dijelajahi Masjid Lebak, Masjid Pangsenam, Masjid Buntut Pulau dan Masjid Bkt Kepayang.

Sementara pada 9hb Selasa ini, beliau bersama pihak urusetia serta Amal Pemuda Kawasan akan mengedarkan bubur lambuk di Taman Temerloh Jaya.