Saturday, April 02, 2011

Pas Temerloh akan memilih AJK Pusat

Persaingan bagi jawatan timbalan presiden dan naib presiden PAS semakin panas. Selepas Kubang Krian mencalonkan Mohamad Sabu untuk jawatan timbalan presiden, minggu depan, PAS Temerloh pula akan bermesyuarat bagi memilih calon mereka.

Selain calon jawatan timbalan presiden, jawatankuasa PAS kawasan itu menyenaraikan calon pilihannya bagi tiga jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa pusat.

Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan berlangsung dalam muktamar itu yang dijadualkan Jun depan.

NONETimbalan yang dipertua kawasan Hassanuddin Salim berkata, kawasan itu akan memutuskan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tertinggi parti itu. Difahamkan Temerloh akan mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden.

“Dalam mesyuarat kawasan kelmarin, perwakilan menyerahkan kepada jawatankuasa PAS kawasan untuk memilih calon bagi jawatan tertinggi, bermula dari presiden hingga ahli jawatankuasanya,” katanya.

Secara peribadi, katanya, beliau menjangkakan Abdul Hadi akan dicalonkan semula mengekalkan jawatannya.

Ditanya berhubung kecenderungan kawasan itu mengenai calon jawatan timbalan presiden, Hassanudin berkata: “Kita lihat (dahulu) kecenderungan jawatankuasa PAS kawasan”.

Hassanuddin adalah calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau baru-baru ini. Beliau tewas kepada calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan majoriti 2,724 undi.

Menurutnya lagi, dua usul telah diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat tersebut.

Usul pertama menggesa kerajaan Pahang menambah jumlah sekolah menengah agama di semua 14 daerah di negeri itu, serta menambahbaik prasarana sekolah sedia ada.

“Sambutan untuk belajar di sekolah agama (bawah kerajaan negeri) begitu menggalakkan. Permohonan terlalu banyak tetapi pengambilannya terhad,” katanya.

Selain itu, Hassanuddin berkata pewakilan juga turut menggesa pimpinan PAS bekerja untuk menjayakan Bersih 2 kerana mendakwa dalam beberapa siri pilihan raya kecil lalu, BN “semakin menyalahgunakan demokrasi”.

“(Perhimpunan Bersih perlu diadakan) untuk memberi kesedaran (kepada BN). Ia perlu disegerakan supaya BN melihat kepentingan demokrasi dan (bersikap) telus,” katanya.

Sementara itu, dalam pemilihan kepimpinan kawasan tersebut, Jusoh Darus dipilih sebagai yang dipertua kawasan, Hassanuddin (timbalan) dan ADUN Kuala Semantan Syed Hamid Syed Muhamad (naib).

Mesyuarat kawasan itu, di Markaz Darul Amin di Temerloh, dihadiri kira-kira 300 perwakilan dan dirasmikan oleh setiausaha majlis Syura Ulama, Nik Zawawi Nik Salleh.