Tuesday, March 30, 2010

BUANG BAYI : APA YANG PAS TELAH USAHAKAN


Nampaknya semula media arus perdana memfokuskan isu pembuangan bayi di negara ini. Seperti biasa pemimpin negara mengecam perbuatan tersebut dengan ucapan yang menggambarkan kekesalan terhadap gejala tersebut, ada yang sebak menangis mengenangkan peristiwa tersebut.

Saya mendapat respon banyak dalam Facebook saya, apa pula yang PAS buat untuk mengatasi masalah ini. Apakah PAS hanya pandai menyalahkan pihak kerajaan sahaja dalam isu ini. Inilah nasib malang PAS kerana apa yang PAS buat tidak diketahui oleh masyarakat. Media perdana tidak menyebelahi PAS, sehingga masyarakat tidak mengetahui apa yang PAS buat. Mereka menganggap bahawa PAS hanya sebuah parti politik untuk mendapat kuasa sahaja. Seolah-olah PAS tidak memperdulikan persoalan, moral dan akhlak remaja.

Saya ingin tegaskan sebagai sebuah parti Islam dasarnya ialah Islam dalam perkara 3 “Dasar Pas ialah Islam”. Maka jelaslah bahawa Islam yang hendak ditegakkan berbeza dengan apa yang hendak dipejuangkan oleh Umno/BN di negara ini. PAS bukan sahaja sebagai parti politik tetapi ia adalah Gerakan pelitik dan gerakan Dakwah. Walaupun aktiviti Pas nampak lebih menonjol dalam politik, sebenarnya PAS juga sebagai gerakan dakwah. Justeru itu walaupun tarikh pilihanraya masih jauh, sebagai gerakan dakwah terus berjalan sebaik sahaja pintu pagar tempat mengundi ditutup. Dalam erti kata yang lain PAS akan bergerak sebagai sebuah parti Islam bagi menyebarkan risalah Allah di muka bumi ini.

PAS menggunakan pendekatan dalam membendung gejala buang bayi ini dengan kaedah mencegah dan menguatkuasakan undang-undang. Ada tohmahan PAS hanya hendak pakai undang-undang tanpa mendidik. Maka di bawah ini adalah jawapannya.

Antara program yang dilakukan untuk membendung gejala yang tidak bermoral supaya tidak berlaku pembuangan bayi ialah;

-Kuliah-kuliah yang mengisi kefahaman Islam dan penghayatan melalui ustaz dan tenaga pengajar PAS di masjid dan di surau. Pendidikan supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam. Kerana penghayatan agama adalah benteng yang paling kukuh dalam memerangi gejala ini.

-Pemuda Pas melalui program “Duta Penyelamat” yang turun berjumpa secara langsung dengan golongan muda mudi. Berjumpa dengan mereka yang duduk berduan yang boleh menjurus kepada perzinaan dengan penuh kasih sayang, menasihati mereka supaya mereka tidak melakukan perbuatan yang menghampiri zina.

-Pemuda dan Nisa’ turun ke padang bertemu dengan remaja yang datang ke tempat bandar besar pada hari keramaian seperti awal tahun baru dan sambutan kemerdekaan. Remaja dibekalkan dengan risalah kesedaran untuk mereka menjadi manusia yang jauh daripada perbuatan zina. Kerana malam itu ialah malam pesta anak muda yang menggerunkan kita sebagai orang yang beriman dan bimbnag tentang masa depan mereka.

-Di Kedah ada satu NGO yang dikendalikan oleh ahli PAS membuat kerja lapangan yang begitu menakjubkan iaitu LANDAS yang berpusat di Sungai Petani. Kumpulan ini telah bertindak membimbing mereka yang terjebak dengan kehancuran hidup seperti dadah, arak, pelacur. Mereka turun dengan bersemuka dan cuba membimbing mereka untuk kembali ke pangkal jalan.

-Di Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamanahkan kepada Exco Pas Dr Halimah untuk mengendalikan Program Pembangunan Modal Insan dengan kewujudan SPIES (Spirtual, Physical,Intellectual, Emotional, Social). Semua acuan yang dibuat melalui program belia remaja adalah menjuruskan kepada pembinaan jati diri remaja di negara ini.

-Di Kelantan adanya Unit Belia, untuk mengendalikan program belia seperti bina insan, sukan rekreasi, kursus motivasi

-Program hidup sihat diperkanalkan supaya hidup remaja terisi dengan memperkenalkan program sukan melaui Lajnah Sukan Dan Rekreasi Pemuda. Ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dalam Islam juga ada sukan dan PAS bukan anti sukan.

-Kempen jauhi arak telah dibuat, kerana arak adalah ibhu segala maksiat yang boleh menjuruskan kepada perzinaan.

-Untuk mengelak supaya faktor rangsangan seks dapat diatasi, maka pihak Dewan Pemuda PAS pernah berjumpa dengan Kementerian Dalam Negeri dengan membawa contoh majalah lucah yang bercambah di pasaran untuk dijadikan bukti supaya pihak KDN bertindak, malangnya dijawab kalau rakyat kita kuat iman maka tidak menjadi masalah. Pas bimbang majalah seperti ini yang merangsang nafsu seks kepada pembaca. Kalau yang boleh pihak kerajaan kawal pun mereka tidak buat apa-apa, apa tah lagi hendak diharap untuk kawal alam siber.

- Kempen supaya mengalakkan budaya hedonism di lancarkan supaya rakyat terutama remaja dapat mengelak untuk mendekati dengan budaya yang tidak sihat.

-PAS telah melatih anak-anak kecil lagi melalui pendidikan pra sekolah, sejak umur 4 tahun melalui Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Anak-anak kecil diajar supaya memakai pakaian menutup aurat, cintakan akhlak Nabi, doa dan hafalan ayat-ayat lazim. PAS menganggap mereka ialah generasi yang akan mewarnai zaman akan datang.

-Kelantan memperkenalkan kaunter berasingan di pasaraya. Semua ini sebagai langkah menutup pintu perzianaan.

-Kelantan mengadakan setiap tahun sepanjang bulan Rejab kempen bulan solat. Kerana solat adalah kunci untuk tidak mekakukan kemungkaran. Walaupun usaha ini dipandang remeh tetapi mempunyai impak yang besar.

-Beberapa program smart Muslim dan Smart Solat diadakan untuk melahir generasi yang bertaqwa kepada Allah dan mempunyai jati diri yang kental.

-Setiap kali cuti persekolahan panjang, PAS telah mengadakan Kem Pembinaan Iman selama 2 hari semalam. Program yang terbuka kepada semua remaja yang berumur 12 tahun sampai 20 tahun.Pengisian ceramah, bengkel, motivasi pelajar cemeralang, qiamullai, tilawah al-Quran.

-Program Unit Amal dan Nisa’ sebagai satu program alternatif kepada remaja untuk program luaran yang bersifat rekreasi dan bersantai. Sudah tentu ia satu kelainan dengan Rakan Muda dan PLKN.

-Setiap PAS negeri ada program yang tersendiri untuk memastikan remaja belia terbimbing. Contohnya di Kedah ada Kem Bina Shakhsiah. Program yang boleh dijadikan satu alternatif yang menjuruskan kepada pembinaan iman dan taqwa serta kekuatan fizikal.

-Usrah remaja diwujudkan disetiap cawangan PAS, untuk memberi kefahaman Islam kepada remaja. Pengisian ibadat, akhlak dan adab pergaulan ditekan kepada mereka.

Mungkin orang mempertikaikan kenapa gejala tidak bermoral juga berlaku di Kelantan dan negeri yang PAS kuasai. Jawapannya kerana kuasa negeri amat terbatas, banyak peraturan dikuasai oleh kerajaan pusat. Banyak kuasa seperti polis, kastam, imigresen, Badan Pencegah Rasuah di bawah kuasa pusat. Rangkaian TV dibawah kerajaan Umno/BN, sistem pendidikan kebangsaan di bawah Umno, akta cetak yang membenarkan majalah hiburan di bawah Umno. Secara keseluruhannya ini adalah kegagalan Umno dalam menangani isu ini. Malahan Umno menjadikan ini sebagai senjata untuk terus melekakan rakyat supaya rakyat tidak mempedulikan penyelewingan dan kegagalan mereka menguruskan negara. Mereka tahu apabila belia dilekakan, maka mudahlah mereka mendapat sokongan dan undi dalam pilihanraya.

Sekurang-kurangnya PAS dengan berbagai kekangan telah berusaha membendung supaya menutup pintu perzinaan yang berakhir dengan pembuangan bayi. Mungkin banyak lagi kekurangan dalam program yang perlu diperbaiki. Walau bagaimanapun usaha PAS adalah lebih baik daripada apa yang kerajaan umno/bn lakukan sehingga keadaan semakin parah.

Ust. Idris Hj Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment