Wednesday, June 23, 2010

JI : PAS mahu Kerajaan tahan dan dakwa, bukan sibuk buat berita


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius dakwaan pihak Kerajaan
dan ketua Polis Negara bahawa institut pengajian tinggi negara ini
kini sudah dimasuki oleh Jamaah Islamiah (JI) yang dilabelkan sebagai
kumpulan penganas oleh Amerika.

Berita ini diperbesarkan dan menimbulkan suasana yang tidak tenteram
dalam negara. PAS kesal kerana isu sebegini sepatutnya diselesaikan
secara rahsia bagi memastikan mereka-mereka yang disyaki terlibat
dengan aktiviti keganasan dapat dibanteras dan tidak melarikan diri.

Hebahan media ini hanya memberikan rasa takut kepada rakyat dan
peluang untuk pengganas menyembunyikan atau melarikan diri. PAS sangsi
dengan dakwaan yang dibuat kerana setelah seminggu berita ini
berlegar di media massa pihak Polis masih gagal membuat sebarang
tangkapan, sedangkan PDRM adalah antara yang terhebat di dunia untuk
memburu penjenayah..

Pas juga merasa bimbang kalau perkara ini dihebahkan akan mengundang
campur tangan asing ke atas negara ini seperti yang pernah dialami di
Afghanistan. Apa yang merugikan negara ialah kemungkinan
pelabur-pelabur takut untuk datang kerana negara kita diancam kumpulan
pengganas.

Kementerian Pengajian Tinggi juga mulai panik dan turut mengistiharkan
mahu memerangi pengganas yang dilaporkan wujud kalangan Pelajar dan
pensyarah.

Jika perkara ini benar, bermakna negara kita, Universiti kita sudah
lama tidak selamat. PAS mahu Kerajaan dan Polis berhenti bermain
politik dan menyelesaikan isu ini secara profesional. Pihak Polis
perlu membuktikan dakwaan ini dengan membuat tangkapan dan dakwaan
segera di Mahkamah.

PAS menolak pengunaan Akta ISA bagi mereka yang dituduh kerana
sehingga ke hari ini penggunaan ISA didapati tidak releven dan hanya
menjadi alat bagi menutup kelemahan Kerajan dalam membuat dakwaan.
Sewajarnya mereka yang dituduh didakwa di Mahkamah dan dibicara
sebagaimana cara Indonesia menghadapi gerakan penganas dinegara
mereka.

Pas tidak mahu isu ini dipolitikkan untuk menampakkan tidak selesaan
dalam negara supaya menakutkan rakyat yang sudah tidak percaya dengan
kerajaan BN. Jika zaman Pak lah dulu, orang sibuk persoalkan isu
peningkatan Jenayah, kini zaman Najib isu pemerdagangan orang, isu
Kongsi Gelap dan Ah Long, Sindiket judi haram, pengedaran dadah
antarabangsa dan pengganas mulai kembali berkuasa.

Bagi PAS, apa yang menjadi keutamaan adalah tindakan pihak Polis
sendiri. Mereka perlu pantas dalam bertindak dan menjaga keselamatan
rakyat, tanpa perlu dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak
tertentu.

Komitmen semua pihak dalam memastikan negara ini selamat perlu
dipertingkatkan dan PAS menyeru semua ahli dan penyokong untuk turut
sama menyertai usaha membasmi jenayah di kawasan masing-masing. PAS
menolak sebarang aktiviti keganasan dan Islam juga tidak mengajar
umatnya untuk menzalimi diri dan orang lain.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment