Friday, April 09, 2010
SEBELUM BERJANJI DI HULU SELANGOR: SELESAIKAN MASALAH SEKOLAH BOCOR DI SJKT BUKIT DARAH.
Parti Islam Se-Malaysia Pas (PAS) mendesak supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya menyelesaikan masalah sekolah SJKT di Bukit Darah dekat dengan Sungai Buluh. Sekolah yang begitu dhaif dengan bumbung bocor dan struktur bangunan yang merbahaya kepada pelajar.
Menurut laporan Utusan Malaysia online (6/4/10) Guru Besar SJKT Bukit Darah, A. Rajendra Devi berkata dia mula mengenalpasti keadaan itu sejak memulakan tugas di situ pada tahun 2006. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja dihadapi murid-murid tetapi juga guru-guru kerana setiap kali musim hujan ia begitu membimbangkan.Beliau mengakui agak terkejut dengan maklum balas yang diterima bahawa peruntukan RM150,000 untuk sekolah berkenaan telah habis digunakan.
Apakah pihak kerajaan Umno/BN akan memperbaiki apabila ada pilihanraya kecil sahaja. Pemimpin Umno/BN menjadi buta mata apabila tidak ada pilhanraya kecil, mereka celik hanya apabila ada pilihanraya. Malahan ada bangunan sampai berkali-kali dirasmi sempena kempen pilhanraya.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengharapkan pemimpin Umno/BN jangan menambahkan senarai yang bakal tidak ditunaikan kepada rakyat dalam setiap kali pilihanraya kecil. Walaupun peruntukan sudah diluluskan sebanyak RM150 ribu, namun tidak ada apa-apa perubahan fizikal yang dibuat. Pas meminta supaya satu siasatan mesti dibuat untuk menyiasat perkara ini. Pihak SPRM mesti bertindak untuk menyiasat laporan mengenai peruntukan wang sudah diluluskan tetapi projek tidak berjalan dan wang sudah habis.
PAS ingin menasihati pemimpin Umno/BN usahlah berjanji banyak sangat dalam pilhanraya kecil Hulu Selangor ini. Jangan menambahkan senarai pembohongan dan janji kosong dalam setiap kali pilihanraya. Kalau SJKT yang sudah lama pun tidak terbela bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin boleh berjanji untuk mendirikan empat sekolah baru di kawasan Parlimen Hulu Selangor.
PAS mengharapkan semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor sekali lagi bangkit menolak calon BN, supaya tercatat lagi satu sejarah keberanian pengundi di Hulu Selangor yang akan menjadi guru politik di negara ini. Bahasa undi sahaja yang pemimpin yang rakus ini boleh faham, mereka tidak faham dengan undang-undang, tidak faham dengan dialog ilmiah, tidak faham dengan teguran di parlimen tetapi akan faham dengan bahasa undi.
Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan Pas Pusat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment