Monday, May 31, 2010

Konvoi GAZA : PAS kutuk serangan Israel, Negara Umat Islam digesa putus hubungan dengan Israel

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan helikopter tentera Israel yang menyebab 16 orang anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara meninggal dunia dan hampir 30 orang cedera. Rakyat Malaysia antara yang dilaporkan terkorban dalam serangan barbarian ini.

Konvoi bantuan untuk rakyat Gaza yang mengandungi 7 buah kapal ini telah memulakan perjalanan dari Laut Mediterranean tetapi mula dikepung oleh tentera Israel dan setakat ini hanya Kapal Mavi Marmara sahaja yang melaporkan diserang.

Kapal-kapal ini turut membawa ahli-ahli parlimen dari Malaysia, Eropah dan beberapa negara lain dan mereka kini berdepan dengan serangan yang lebih berat dari regim Israel.

PAS berharap agar Kerajaan Malaysia, OIC dan anggota PBB lain bangkit mengutuk tindakan ganas Israel ini dan menuntut agar kapal-kapal ini dibenarkan masuk menghantar bantuan ke Gaza. Satu persidang khas OIC perlu dilakukan segera bagi membincangkan hal ini.

PAS juga meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine. Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini dan satu demontrasi besar bersama NGO dan penyokong solidariti Palestin akan diadakan pada 4 Jun 2010 (Jumaat) dihadapan kedutaan Amerika selepas solat Jumaat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, May 24, 2010

Mangsa Lemas Sungai Semantan Ditemui

TERKINI : Kg. Tanjung Lalang : Mangsa lemas, Tamil Selvam A/L Ahri telah ditemui oleh para penyelamat pada jam 10.45 pagi, dekat sini. Ketika ini, mayat telah dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat.

Maklumat lanjut menyusul kemudian.


Pemuda India Dipercayai Mati Lemas di Sungai Semantan




Ahad, 23 Mei 2010, Kg. Lompat : Seorang pemuda berketurunan India dipercayai mati lemas apabila terjatuh ke dalam Sungai Semantan, jam 3.00 petang. Operasi menyelamat agak lewat dimulakan kerana kelewatan pelaporan kepada orang-orang kampung.

Bersama-sama ini disertakan gambar-gambar semasa meninjau operasi menyelamat mangsa lemas seorang remaja India di Sungai Semantan berhampiran Kg. Lompat pada 24 Mei 2010 sekitar jam 9.00 pagi bersama Yang DiPertua dan Setiausaha PAS Kawasan Temerloh.

YDP PAS Kawasan Temerloh telah diminta membacakan doa sebagai memulakan operasi mencari pada hari itu.

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Temerloh.


Sunday, May 23, 2010

PAS kesal Najib Halang Siasatan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghalang usaha rakyat menuntut satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat dakwaan Barry Wain.

Semalam Barry Wain mempertahan fakta bukunya 'Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times' dan turut menyatakan beliau mempunyai bukti yang kuat bahawa Mahathir telah menyelewengkan wang negara lebih dari RM 100 Bilion.

Pada Disember tahun lepas Najib menyebut;

"Tak wajar dicadangkan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku. Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar. Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh,”

Ini adalah satu alasan yang cuba melindungi Mahathir dan kepentingan Umno. Najib bersubahat dalam hal ini begitu juga mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka turut menyambung legasi penyelewengan Mahathir.

Sehingga kini Umno gagal menyangkal dakwaan Wain bahawa bangunan PWTC yang mereka duduki sekarang adalah hasil dari wang rakyat yang diselewengkan. Malah dakwaan Wain bahawa ketika Daim menjadi Menteri Kewangan terdapat satu akaun dana politik khas diperuntukan untuk Umno bernilai puluhan juta juga tidak dinafikan oleh mana-mana pemimpin Umno.

PAS persoalkan kenapa Najib begitu takut untuk membenarkan hal ini disiasat oleh Suruhanjaya Diraja?

Rakyat menghargai sumbangan Mahathir, tetapi itu bukan alasan untuk menyembunyikan fakta penyelewengan yang telah dilakukan dan disambung oleh pemimpin selepasnya.
Rakyat menuntut satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyelamatkan wang negara dari terus diselewengkan oleh Umno-BN. Dakwaan Wain harus disiasat dan segala dokumen yang beliau miliki harus didedahkan.

Monday, May 17, 2010

SUKAN PASTI NEGERI PAHANG

Pesta Sukan Pasti Malaysia peringkat negeri Pahang pada tahun ini memilih Temerloh sebagai tuan rumah bertempat di Taman Awam Kubang Gajah.Program dirasmikan oleh Pengarah Pasti Malaysia, Cikgu Azrin.Sementara itu, Pengarah Pasti Pahang, Cikgu Rozlan mengucapkan terima kasih kpd Majlis Perbandaran kerana membenarkan pihak Pasti menggunakan Taman Awam tersebut.


Tahniah kpd Pasti Temerloh kerana muncul juara dlm sukan bolajaring, walaupun tewas pada peringkat separuh akhir dlm sukan bolasepak.Juga sekalung tahniah kpd Pasti Indra Mahkota yg menjuarai bolasepak.


Pada malam sebelumnya, Cikgu Azrin merasmikan Majlis Makan Amal yg dianjurkan oleh Pasti Az-Zahra` di Dewan Orangramai Taman Temerloh Jaya.Majlis tersebut diadakan utk mengumpul dana bangunan Pasti Az-Zahra` yg menampilkan Persembahan dari Kumpulan Huffaz, Masabry dan Qamarul Raihan serta anak2 Az-Zahra`.

Sunday, May 09, 2010

Umno Mahu Jadikan Malaysia Serambi Las Vegas


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.

Hal ini sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan pula.

Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.

Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama negara juga.

Rakyat Kelantan khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu di negeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.

Disebabkan gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.

Mungkin tindakan ini terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.

Oleh itu, Awang Adek cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak PRU-12.

Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama' dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini.

Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

PAS berharap agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini mampu melangkah jauh ke hadapan.

Wednesday, May 05, 2010

PAS Mahu Forum Ekonomi Islam Dunia Boikot APCO-Israel


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic Economic Forum -WIEF) kali ke-6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 18-20 Mei 2010 membincangkan beberapa isu berkaitan hubungan ekonomi negara-negara Islam dengan Israel secara serius.

Forum yang dihadiri oleh ketua-ketua negara yang majoriti rakyatnya Islam harus melihat perkara ini sebagai isu bersama. Jika di Malaysia kita dikejutkan dengan hubungan kayu tiga Malaysia-Israel melalui promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, syarikat perunding APCO worldwide, Satchi & Satchi serta pelbagai pertemuan sulit pemimpin Umno dan Menteri Israel.

Di negara lain pula ada yang secara terbuka menjalikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel seperti Indonesia, Turki, Jordan, Mauritania dan beberapa lagi negara.

Perkara ini harus diperhalusi oleh setiap ketua-ketua negara yang kononnya menjadi kumpulan simpatisan kepada Palestin yang dizalimi Israel sedangkan mereka semua termasuk Kerajaan BN Malaysia bersekongkol untuk menyokong Zionis Israel. Mereka kena boikot Israel dan semua syarikat yang ada hubungkait dengan pelobi Israel termasuk APCO.

PAS yakin umat Islam seluruh dunia menuntut keikhlasan ketua-ketua negara Islam untuk melihat apa yang dilakukan oleh regim Zionis Israel kepada Palestin dan segera memulaukan negara haram yang tidak berdaulat itu.

PAS mahu pemimpin-pemin Islam secara terbuka menyatakan komitmen mereka dalam Forum ini untuk menekan Israel sebagaimana Israel kini melobi dengan kuatnya di Majlis Keselamatan PBB untuk menkan negara Iran yang menjadi ancaman mereka.

PAS juga mahu, negara-negara Islam menyatakan pendirian mereka terhadap isu di Iraq, Afghanistan dan terkini di Iran. PAS mahu, ketua-ketua negara Islam menunjukan bahawa mereka boleh bersatu mempertahankan Iran dari dikenakan sekatan ekonomi. Inilah masanya untuk mereka menunjukan kepada dunia bahawa mereka bukan budak suruhan Amerika.

PAS menanti reaksi Kerajaan Malaysia dan persiapan Forum ini. Diharapkan forum yang akan memfokuskan 8 perkara melibatkan soal pelancongan, Logistik, SMEs, pengurusan air, penjenamaan, teknologi pendidikan, keusahawanan dan etika perniagaan, inovasi dan perbankan Islam ini tidak menutup mata dan pemikiran mereka dari memikirkan soal kezaliman Israel kepada Palestin.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat