Tuesday, June 29, 2010

MELAYU TIDAK DAFTAR PEMILIH AKIBAT CARA UMNO BERPOLITIK


PAS berpandangan dengan laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa nisbah 1 Melayu dan 40 orang bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi, ini angka petunjuk kegagalan Umno sebagai tonggak kepada negara pada hari ini gagal menyuntik kesedaran politik di kalangan orang Melayu.

PAS berpendapat perkara ini terjadi kerana Umno BN yang berkuasa di negara ini telah menjadikan generasi muda Melayu, hanyut dengan budaya hedonisme yang melampau. Orang Melayu yang dilanda dengan budaya ini memang mereka ini tidak akan memperdulikan soal politik dan apa sahaja gejala rasuah yang berlaku dalam negara kita.

Umno mengharap dengan dihadang program hiburan sebegini maka mereka tidak akan mengambil peduli apa yang berlaku kepada negara ini. Maka Umno BN akan bermaharajalela untuk memfaraid harta negara kerana rakyat Melayu ini tidak memperdulikan apa yang Umno hendak lakukan seperti kapal selam yang tidak boleh menyelam, gadai harta negara seperti blok L dan M yang berharga RM320 bilion kepada kerajaan Brunei.

Nampaknya strategi tempang telah makan tuan, sehingga orang Melayu sedikit mendaftar sebagai pengundi kerana diulit dengan program hiburan yang semakin menjadi-jadi.
PAS berpedapat bahawa akibat longgarnya pegangan agama di kalangan orang Melayu terutama remaja, sehingga mereka tidak ada kesedaran politik untuk mendaftar. Sejarah membuktikan orang Melayu sedar politik pada peringkat awal apabila golongan Islah yang dipimpin oleh ulamak seperti Sheikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh al-Hadi yang pulang daripada Timur Tengah meniupkan kesedaran agama dan politik.

Akhirnya orang Melayu ada kesedaran politik dan bangkit menentang penjajah. Keadaan berlaku sebaliknya apabila Umno cuba merenggangkan agama dan politik, dengan membendung fungsi masjid sebagai pusat ilmu untuk menerangkan Islam yang syumul. Maka sekarang terimalah padahnya kerana orang Melayu sudah mati kesedaran untuk berpolitik dan tidak berminat untuk mendaftar sebagai pengundi.

PAS melihat gagalnya orang Melayu mendaftar kerana umno telah menanamkan budaya takut semasa di pusat pengajian tinggi lagi. Politik ugut dan tidak bermaruah dalam pilihanraya kampus, akhirnya mereka menjadi ulat buku yang tidak berdunia dengan masyarakat serta tidak ada kesedaran politik.
Mereka mengambil pendekatan untuk tidak mahu terlibat dalam politik kampus, sehingga setengah kampus terpaksa mewajibkan pelajar turun mengundi, kalau tidak mereka akan diambil tindakan seperti buang daripada asrama. Semua ini kesilapan Umno yang mematikan tunas kesedaran politik di kalangan mahasiswa. Sedangkan mereka ini adalah generasi pelapis negara, sekarang siapa yang rugi.

PAS menyeru supaya ahli PAS yang sudah cukup umur lahir sebelum tahun 1989, diwajibkan mendaftar sebagai pengundi. Semua jentera parti mesti menjadikan agenda daftar pemilih sebagai program yang diutamakan. Semua penceramah, pengkuliah, naqib memberi penekanan dalam ceramah dan kuliah mereka supaya mandaftar sebagai pengundi.

Tekankan bahawa dafar mengundi adalah wajib. Kalau kuat bertakbir tetapi tidak daftar sebagai pengundi, kuasa Umno BN tidak akan jatuh di dalam PRU yang akan datang. Ini bererti negara akan menuju kepada kehancuran dan muflis.

Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



Monday, June 28, 2010

Najib Takut Dengan Kartun Zunar



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kasihan melihat Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak yang ketakutan melihat penerbitan kartun-kartun karya kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan dan merampas buku kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun. Syarikat Penerbitan Kinibooks yang juga anak syarikat Malaysiakini yang menerbitkan buku berkenaan berhadapan dengan ancaman hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini Zunar juga dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan permit penerbitan Gedung kartun, tetapi pihak KDN menolak.

Pemimpin Umno-BN yang menguasai Kerajaan tidak dapat menerima secara terbuka kritikan, sindiran dan satira yang dikemukakan dalam edisi kartun-kartun ini. Mereka terdesak untuk menafikan pandangan rakyat terhadap kezaliman, penyelewengan dan keangkuhan mereka.

PAS menyokong usaha Zunar dan Malaysiakini dalam memberikan gambaran alternatif kepada rakyat tentang Kerajaan yang selalunya digambarnya dengan imej positif sahaja melalui rangkaian media mereka.

Rakyat perlu tahu apa yang Kerajaan sembunyikan dari mereka. Zunar yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan diakui ramai pihak sebagai pengkartun yang mempunyai daya kreativiti satira yang luar biasa dan mampu mengoyahkan kedudukan dan imej Najib.

Kes Kapal Selam, Dasar-dasar Najib, Pergaduhan Pemimpin Umno-BN, Kezaliman mereka, rasuah dan sebagainya adalah antara perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh Najib tetapi mudah diterjemahkan dalam bentuk kartun oleh Zunar.

Beliau juga antara pengkartun yang berjaya menelanjangkan kebobrokan Mahathir dan Pak Lah serta Menteri-menteri mereka seperti Rafidah, Samy Vellu dan sebagainya sebelum ini dalam bentuk kartun.

Kartun adalah antara karya seni yang menarik, mudah diterima dan difahami oleh pelbagai lapisan rakyat, khususnya golongan muda. Dinegara-negara luar, kartun-kartun satira sebegini bebas di diterbit dan disiarkan sama ada dipihak Kerajaan atau pembangkang.

PAS melihat tindakan KDN ini membuktikan bahawa Najib, dan pemimpin Umno-BN cukup terasa dengan penangan kartun Zunar dan kawan-kawannya. Ruangan kartun Senyum Kambing dalam Utusan serta kartun-kartun lain di akhbar milik Umno-BN pun tak mampu menyaingi apa yang dihasilkan oleh Zunar. Dan jelas, KDN dipergunakan bagi menyekat pengaruh kartun-kartun satira demi untuk menyelamatkan Imej Najib dan Umno-BN
yang kini dianggap sebagai pelawak sahaja.

PAS akan terus menyokong usaha Zunar dan rakan-rakan pengkartunnya. PAS berharap agar KDN bersikap terbuka dan realitik serta tidak tunduk pada tekanan pemimpin politik dalam BN dalam bertindak.

PAS TIDAK GENTAR WALAUPUN BERIBU ORANG AGAMA MASUK UMNO


Parti Islam SeMalaysia (PAS) tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno. Kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut. Lebih-lebih lagi mereka yang menyerah borang tempoh hari adalah mereka yang tidak diketahui langsung daripada mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat.

Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal. Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal.

Perjuangan PAS bukan menentang peribadi, tetapi menentang dasar Umno. Siapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi ia mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara mungkar dan mengkhianat amanah negara dan rakyat. PAS tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

PAS yakin mereka yang berlatar belakang dalam Umno tidak ke mana akhirnya. Mereka hanya akan menjadi kupang tembaga, digunakan ketika hendak melawan hujah PAS itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali Pas ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut.

PAS yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang. Sekadar menyebut beberapa nama dalam umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno.

Mana pergi nama-nama seperti Dr Hamid Osman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (Bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA, Madinah, Phd UK), Dr Yusuf Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqin, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang umno bersama-sama dengan umno untuk karam sama.

Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersetongkol dengan Umno. Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunai.

PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

USTAZ IDRIS AHMAD
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, June 23, 2010

JI : PAS mahu Kerajaan tahan dan dakwa, bukan sibuk buat berita


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius dakwaan pihak Kerajaan
dan ketua Polis Negara bahawa institut pengajian tinggi negara ini
kini sudah dimasuki oleh Jamaah Islamiah (JI) yang dilabelkan sebagai
kumpulan penganas oleh Amerika.

Berita ini diperbesarkan dan menimbulkan suasana yang tidak tenteram
dalam negara. PAS kesal kerana isu sebegini sepatutnya diselesaikan
secara rahsia bagi memastikan mereka-mereka yang disyaki terlibat
dengan aktiviti keganasan dapat dibanteras dan tidak melarikan diri.

Hebahan media ini hanya memberikan rasa takut kepada rakyat dan
peluang untuk pengganas menyembunyikan atau melarikan diri. PAS sangsi
dengan dakwaan yang dibuat kerana setelah seminggu berita ini
berlegar di media massa pihak Polis masih gagal membuat sebarang
tangkapan, sedangkan PDRM adalah antara yang terhebat di dunia untuk
memburu penjenayah..

Pas juga merasa bimbang kalau perkara ini dihebahkan akan mengundang
campur tangan asing ke atas negara ini seperti yang pernah dialami di
Afghanistan. Apa yang merugikan negara ialah kemungkinan
pelabur-pelabur takut untuk datang kerana negara kita diancam kumpulan
pengganas.

Kementerian Pengajian Tinggi juga mulai panik dan turut mengistiharkan
mahu memerangi pengganas yang dilaporkan wujud kalangan Pelajar dan
pensyarah.

Jika perkara ini benar, bermakna negara kita, Universiti kita sudah
lama tidak selamat. PAS mahu Kerajaan dan Polis berhenti bermain
politik dan menyelesaikan isu ini secara profesional. Pihak Polis
perlu membuktikan dakwaan ini dengan membuat tangkapan dan dakwaan
segera di Mahkamah.

PAS menolak pengunaan Akta ISA bagi mereka yang dituduh kerana
sehingga ke hari ini penggunaan ISA didapati tidak releven dan hanya
menjadi alat bagi menutup kelemahan Kerajan dalam membuat dakwaan.
Sewajarnya mereka yang dituduh didakwa di Mahkamah dan dibicara
sebagaimana cara Indonesia menghadapi gerakan penganas dinegara
mereka.

Pas tidak mahu isu ini dipolitikkan untuk menampakkan tidak selesaan
dalam negara supaya menakutkan rakyat yang sudah tidak percaya dengan
kerajaan BN. Jika zaman Pak lah dulu, orang sibuk persoalkan isu
peningkatan Jenayah, kini zaman Najib isu pemerdagangan orang, isu
Kongsi Gelap dan Ah Long, Sindiket judi haram, pengedaran dadah
antarabangsa dan pengganas mulai kembali berkuasa.

Bagi PAS, apa yang menjadi keutamaan adalah tindakan pihak Polis
sendiri. Mereka perlu pantas dalam bertindak dan menjaga keselamatan
rakyat, tanpa perlu dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak
tertentu.

Komitmen semua pihak dalam memastikan negara ini selamat perlu
dipertingkatkan dan PAS menyeru semua ahli dan penyokong untuk turut
sama menyertai usaha membasmi jenayah di kawasan masing-masing. PAS
menolak sebarang aktiviti keganasan dan Islam juga tidak mengajar
umatnya untuk menzalimi diri dan orang lain.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Laporan Polis Terhadap PM di IPD Temerloh


TEMERLOH, 23 Julai 2010: Satu laporan Polis telah dibuat oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), saudara Mazlan Aliman bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Pahang terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Ahmad Maslan berhubung isu penyusutan nilai tunai Felda yang dipercayai berlaku akibat daripada penyelewengan.

Laporan Polis tersebut telah dibuat secara bersama oleh lima individu diketuai Mazlan di IPD Temerloh. Mazlan telah di iringi oleh 40 pengikutnya tiba di IPD Temerloh, lebih kurang jam sepuloh pagi tadi.

Setelah itu, Mazlan membuat kenyataan media yang mengesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara terperinci terhadap perjalanan kewangan Felda sehingga menimbulkan keraguan tentang kemungkinan yang tinggi berlakunya penyelewengan sehingga menyebabkan nilai tunai Felda merosot.

"Setelah meneliti pendedahan berbagai pihak termasuk kenyataan dari bekas Timbalan Menteri Tanah Dan Pembangunan Koperasi, Dr Tan Kee Kwong dan jawapan oleh Dato' Ahmad Maslan maka timbul keraguan yang munasabah berlakunya penyelewengan sehingga nilai tunai Felda merosot. Saya amat meragui penjelasan Dato' Ahmad Maslan sebab itu kita mendesak pihak Polis dan SPRM segera membuat penyiasatan," katanya.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pahang merangkap Setiausaha PAS Kawasan, Hasanudin Salim, Ketua Pemuda, Ustaz Jauhari Ishak, Ketua Penerangan Temerloh, Sdr Hashim Abdullah dan beberapa pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang lain.

Sunday, June 06, 2010

Deklarasi Sempena Hari Alam Sekitar

Pas Pahang mengeluarkan satu Deklarasi sempena Hari Alam Sekitar yg di sambut pada 6 Jun 2010.Deklarasi yg dibacakan oleh Dr Hamzah Jaafar itu diadakan di Taman Esplaned Temerloh semalam.Taman tersebut berada di laluan Pekan Sehari Temerloh.Wakil2 dari seluruh negeri Pahang hadir utk menjayakan program tersebut.Mereka turut mengedar risalah yg bertemakan "Jom Pelihara Alam Sekitar"
Dr Hamzah dan YB Syed Hamid melepaskan anak2 ikan sebagai simbolik kpd program hari ini.
Program seperti ini menunjukan Pas adalah sebuah Parti yg bukan sekadar membicarakan soal2 Politik sahaja bahkan merangkumi semua sudut yg lebih luas.

Program Simulasi di Temerloh

Program simulasi Pilihanraya kali ini diadakan di Temerloh.Semua Pas kawasan2 yg hadir ditempatkan di ketiga2 Dun, iaitu Dun Mentakab, Dun Semantan dan Dun Lanchang.Pelbagai program telah dijalankan antaranya Mengedar risalah di Pekan Sehari Temerloh, manjalankan kajian dan cula ke rumah2, memberi sumbangan kpd fakir miskin dll.
Menukar atap baru adalah antara program yg di adakan bertempat di Kg Sg Rabit.

Thursday, June 03, 2010

Tragedi LL4GAZA : Israel Bacul !


Lantai kapal berubah menjadi merah akibat darah para korban.
[..] Umumnya sekitar jam empat pagi, ketika aktivis muslim melakukan shalat subuh berjamaah, suasana dikejutkan ketika di tengah-tengah shalat, gempita deru bunyi helikopter yang terbang di atas kapal mereka, serta 4 kapal yang dilengkapi dengan meriam dan 16 kapal lainnya yang membawa sekitar lapan orang di setiap satunya.

Kemudian helikopter itu langsung menurunkan soldadunya dengan senjata yang lengkap, dan menembak arah mereka. Suasana jadi sungguh kelam kabut. Ada aktivis yang terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri, namun gagal apabila ditembak soldadu. Darah mengalir lalu mati.

Sebahagian lagi yang tertangkap, tanpa malu dan bersalah tentara Israel itu terus membunuh mereka di depan aktivis lainnya. Ketika itu sebanyak 14 aktivis Turki langsung syahid di tempat, dan beberapa beberapa orang lainnya luka-luka.

Setelah itu tentara Israel menyerang tempat yang digunakan sebagai perlindungan para relawan perempuan. Tentara itu menyondolkan hujung senjata ke kepala mereka. Tentara Israel memperlakukan mereka dengan kejam, tidak pandang bulu. Semua orang akhirnya diikat.
- sumber hidayatullah.com/voice of islam

Monday, May 31, 2010

Konvoi GAZA : PAS kutuk serangan Israel, Negara Umat Islam digesa putus hubungan dengan Israel

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan helikopter tentera Israel yang menyebab 16 orang anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara meninggal dunia dan hampir 30 orang cedera. Rakyat Malaysia antara yang dilaporkan terkorban dalam serangan barbarian ini.

Konvoi bantuan untuk rakyat Gaza yang mengandungi 7 buah kapal ini telah memulakan perjalanan dari Laut Mediterranean tetapi mula dikepung oleh tentera Israel dan setakat ini hanya Kapal Mavi Marmara sahaja yang melaporkan diserang.

Kapal-kapal ini turut membawa ahli-ahli parlimen dari Malaysia, Eropah dan beberapa negara lain dan mereka kini berdepan dengan serangan yang lebih berat dari regim Israel.

PAS berharap agar Kerajaan Malaysia, OIC dan anggota PBB lain bangkit mengutuk tindakan ganas Israel ini dan menuntut agar kapal-kapal ini dibenarkan masuk menghantar bantuan ke Gaza. Satu persidang khas OIC perlu dilakukan segera bagi membincangkan hal ini.

PAS juga meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine. Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini dan satu demontrasi besar bersama NGO dan penyokong solidariti Palestin akan diadakan pada 4 Jun 2010 (Jumaat) dihadapan kedutaan Amerika selepas solat Jumaat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, May 24, 2010

Mangsa Lemas Sungai Semantan Ditemui

TERKINI : Kg. Tanjung Lalang : Mangsa lemas, Tamil Selvam A/L Ahri telah ditemui oleh para penyelamat pada jam 10.45 pagi, dekat sini. Ketika ini, mayat telah dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat.

Maklumat lanjut menyusul kemudian.


Pemuda India Dipercayai Mati Lemas di Sungai Semantan




Ahad, 23 Mei 2010, Kg. Lompat : Seorang pemuda berketurunan India dipercayai mati lemas apabila terjatuh ke dalam Sungai Semantan, jam 3.00 petang. Operasi menyelamat agak lewat dimulakan kerana kelewatan pelaporan kepada orang-orang kampung.

Bersama-sama ini disertakan gambar-gambar semasa meninjau operasi menyelamat mangsa lemas seorang remaja India di Sungai Semantan berhampiran Kg. Lompat pada 24 Mei 2010 sekitar jam 9.00 pagi bersama Yang DiPertua dan Setiausaha PAS Kawasan Temerloh.

YDP PAS Kawasan Temerloh telah diminta membacakan doa sebagai memulakan operasi mencari pada hari itu.

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Temerloh.


Sunday, May 23, 2010

PAS kesal Najib Halang Siasatan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghalang usaha rakyat menuntut satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat dakwaan Barry Wain.

Semalam Barry Wain mempertahan fakta bukunya 'Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times' dan turut menyatakan beliau mempunyai bukti yang kuat bahawa Mahathir telah menyelewengkan wang negara lebih dari RM 100 Bilion.

Pada Disember tahun lepas Najib menyebut;

"Tak wajar dicadangkan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku. Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar. Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh,”

Ini adalah satu alasan yang cuba melindungi Mahathir dan kepentingan Umno. Najib bersubahat dalam hal ini begitu juga mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka turut menyambung legasi penyelewengan Mahathir.

Sehingga kini Umno gagal menyangkal dakwaan Wain bahawa bangunan PWTC yang mereka duduki sekarang adalah hasil dari wang rakyat yang diselewengkan. Malah dakwaan Wain bahawa ketika Daim menjadi Menteri Kewangan terdapat satu akaun dana politik khas diperuntukan untuk Umno bernilai puluhan juta juga tidak dinafikan oleh mana-mana pemimpin Umno.

PAS persoalkan kenapa Najib begitu takut untuk membenarkan hal ini disiasat oleh Suruhanjaya Diraja?

Rakyat menghargai sumbangan Mahathir, tetapi itu bukan alasan untuk menyembunyikan fakta penyelewengan yang telah dilakukan dan disambung oleh pemimpin selepasnya.
Rakyat menuntut satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyelamatkan wang negara dari terus diselewengkan oleh Umno-BN. Dakwaan Wain harus disiasat dan segala dokumen yang beliau miliki harus didedahkan.

Monday, May 17, 2010

SUKAN PASTI NEGERI PAHANG

Pesta Sukan Pasti Malaysia peringkat negeri Pahang pada tahun ini memilih Temerloh sebagai tuan rumah bertempat di Taman Awam Kubang Gajah.Program dirasmikan oleh Pengarah Pasti Malaysia, Cikgu Azrin.Sementara itu, Pengarah Pasti Pahang, Cikgu Rozlan mengucapkan terima kasih kpd Majlis Perbandaran kerana membenarkan pihak Pasti menggunakan Taman Awam tersebut.


Tahniah kpd Pasti Temerloh kerana muncul juara dlm sukan bolajaring, walaupun tewas pada peringkat separuh akhir dlm sukan bolasepak.Juga sekalung tahniah kpd Pasti Indra Mahkota yg menjuarai bolasepak.


Pada malam sebelumnya, Cikgu Azrin merasmikan Majlis Makan Amal yg dianjurkan oleh Pasti Az-Zahra` di Dewan Orangramai Taman Temerloh Jaya.Majlis tersebut diadakan utk mengumpul dana bangunan Pasti Az-Zahra` yg menampilkan Persembahan dari Kumpulan Huffaz, Masabry dan Qamarul Raihan serta anak2 Az-Zahra`.

Sunday, May 09, 2010

Umno Mahu Jadikan Malaysia Serambi Las Vegas


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.

Hal ini sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan pula.

Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.

Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama negara juga.

Rakyat Kelantan khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu di negeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.

Disebabkan gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.

Mungkin tindakan ini terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.

Oleh itu, Awang Adek cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak PRU-12.

Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama' dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini.

Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

PAS berharap agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini mampu melangkah jauh ke hadapan.

Wednesday, May 05, 2010

PAS Mahu Forum Ekonomi Islam Dunia Boikot APCO-Israel


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic Economic Forum -WIEF) kali ke-6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 18-20 Mei 2010 membincangkan beberapa isu berkaitan hubungan ekonomi negara-negara Islam dengan Israel secara serius.

Forum yang dihadiri oleh ketua-ketua negara yang majoriti rakyatnya Islam harus melihat perkara ini sebagai isu bersama. Jika di Malaysia kita dikejutkan dengan hubungan kayu tiga Malaysia-Israel melalui promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, syarikat perunding APCO worldwide, Satchi & Satchi serta pelbagai pertemuan sulit pemimpin Umno dan Menteri Israel.

Di negara lain pula ada yang secara terbuka menjalikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel seperti Indonesia, Turki, Jordan, Mauritania dan beberapa lagi negara.

Perkara ini harus diperhalusi oleh setiap ketua-ketua negara yang kononnya menjadi kumpulan simpatisan kepada Palestin yang dizalimi Israel sedangkan mereka semua termasuk Kerajaan BN Malaysia bersekongkol untuk menyokong Zionis Israel. Mereka kena boikot Israel dan semua syarikat yang ada hubungkait dengan pelobi Israel termasuk APCO.

PAS yakin umat Islam seluruh dunia menuntut keikhlasan ketua-ketua negara Islam untuk melihat apa yang dilakukan oleh regim Zionis Israel kepada Palestin dan segera memulaukan negara haram yang tidak berdaulat itu.

PAS mahu pemimpin-pemin Islam secara terbuka menyatakan komitmen mereka dalam Forum ini untuk menekan Israel sebagaimana Israel kini melobi dengan kuatnya di Majlis Keselamatan PBB untuk menkan negara Iran yang menjadi ancaman mereka.

PAS juga mahu, negara-negara Islam menyatakan pendirian mereka terhadap isu di Iraq, Afghanistan dan terkini di Iran. PAS mahu, ketua-ketua negara Islam menunjukan bahawa mereka boleh bersatu mempertahankan Iran dari dikenakan sekatan ekonomi. Inilah masanya untuk mereka menunjukan kepada dunia bahawa mereka bukan budak suruhan Amerika.

PAS menanti reaksi Kerajaan Malaysia dan persiapan Forum ini. Diharapkan forum yang akan memfokuskan 8 perkara melibatkan soal pelancongan, Logistik, SMEs, pengurusan air, penjenamaan, teknologi pendidikan, keusahawanan dan etika perniagaan, inovasi dan perbankan Islam ini tidak menutup mata dan pemikiran mereka dari memikirkan soal kezaliman Israel kepada Palestin.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, April 09, 2010

SEBELUM BERJANJI DI HULU SELANGOR: SELESAIKAN MASALAH SEKOLAH BOCOR DI SJKT BUKIT DARAH.


Parti Islam Se-Malaysia Pas (PAS) mendesak supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya menyelesaikan masalah sekolah SJKT di Bukit Darah dekat dengan Sungai Buluh. Sekolah yang begitu dhaif dengan bumbung bocor dan struktur bangunan yang merbahaya kepada pelajar.

Menurut laporan Utusan Malaysia online (6/4/10) Guru Besar SJKT Bukit Darah, A. Rajendra Devi berkata dia mula mengenalpasti keadaan itu sejak memulakan tugas di situ pada tahun 2006. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja dihadapi murid-murid tetapi juga guru-guru kerana setiap kali musim hujan ia begitu membimbangkan.Beliau mengakui agak terkejut dengan maklum balas yang diterima bahawa peruntukan RM150,000 untuk sekolah berkenaan telah habis digunakan.

Apakah pihak kerajaan Umno/BN akan memperbaiki apabila ada pilihanraya kecil sahaja. Pemimpin Umno/BN menjadi buta mata apabila tidak ada pilhanraya kecil, mereka celik hanya apabila ada pilihanraya. Malahan ada bangunan sampai berkali-kali dirasmi sempena kempen pilhanraya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengharapkan pemimpin Umno/BN jangan menambahkan senarai yang bakal tidak ditunaikan kepada rakyat dalam setiap kali pilihanraya kecil. Walaupun peruntukan sudah diluluskan sebanyak RM150 ribu, namun tidak ada apa-apa perubahan fizikal yang dibuat. Pas meminta supaya satu siasatan mesti dibuat untuk menyiasat perkara ini. Pihak SPRM mesti bertindak untuk menyiasat laporan mengenai peruntukan wang sudah diluluskan tetapi projek tidak berjalan dan wang sudah habis.

PAS ingin menasihati pemimpin Umno/BN usahlah berjanji banyak sangat dalam pilhanraya kecil Hulu Selangor ini. Jangan menambahkan senarai pembohongan dan janji kosong dalam setiap kali pilihanraya. Kalau SJKT yang sudah lama pun tidak terbela bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin boleh berjanji untuk mendirikan empat sekolah baru di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

PAS mengharapkan semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor sekali lagi bangkit menolak calon BN, supaya tercatat lagi satu sejarah keberanian pengundi di Hulu Selangor yang akan menjadi guru politik di negara ini. Bahasa undi sahaja yang pemimpin yang rakus ini boleh faham, mereka tidak faham dengan undang-undang, tidak faham dengan dialog ilmiah, tidak faham dengan teguran di parlimen tetapi akan faham dengan bahasa undi.



Ustaz Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan Pas Pusat

Tuesday, April 06, 2010

Lagi gambar2 Mesyuarat Agung Pas Temerloh

YDP Pas Temerloh, Ustaz Rahim Latiff sedang menyampaikan ucapanya.


Turut serta ialah Tuan Syed dari Pejabat Agung Pas Pusat ( Dihadapan bersongkok)


Ustaz Osman Mempengerusikan mesyuarat menggantikan Pengerusi Tetap yg tidak hadir.



Monday, April 05, 2010

Najib Akui Kerajaan Tiada Duit


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) persoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui bahawa asas perolehan negara pada masa ini tidak kukuh dan Kerajaan tidak mampu untuk membayar gaji penjawat awam, sedangkan pada akhir tahun lepas kerajaan bangga mengumumkan bahawa ekonomi berkembang dengan baik iaitu 4.5 peratus dan tahun ini dijangka melebihi 5.5 peratus pula.

Najib terdesak membuat pengakuan itu demi untuk menarik perhatian kakitangan awam untuk menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditolak oleh majoriti rakyat. Kenyataan Najib itu membuka pekung pemerintahannya yang kini sedang sibuk menabur duit di Hulu Selangor sempena pilihanraya kecil.

Tindakan Najib memaksa kakitangan awam menyokong dasar ini secara membuta tuli adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini dimana setiap warganegara berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu menyokong atau tidak.

Tidak guna gaji kakitangan Kerajaan dinaikan sedangkan dalam masa yang sama cukai GST diperkenalkan. Jika GST dilaksanakan, keadaan ekonomi kakitangan awam mungkin lebih teruk kerana kenaikan gaji hanya sekitar RM200-RM500 sahaja sedangkan pertambahan kos sara hidup berkemungkinan meningkat lebih dari kadar itu.

Najib juga dilihat zalim kerana menjadikan kakitangan kerajaan sebagai 'hamba' yang kena terima apa sahaja yang kerajaan ingin lakukan. Oleh itu, kakitangan kerajaan harus bijak dan menolak dasar ini. Kerajaan boleh tangguhkan kenaikkan gaji sehingga ekonomi pulih sepenuhnya tanpa perlu perkenalkan cukai baru.

Jika GST dilaksanakan, bukan sahaja 1.2 juta kakitangan awam akan jadi mangsa, lebih 25 juta rakyat Malaysia akan terima kesannya. Pekerja swasta yang tidak mendapat kenaikan gaji akan menerima kesan yang lebih teruk, kerana kos hidup mereka secara purata bertambah 4 peratus.

Oleh itu PAS berharap agar kakitangan Kerajaan tidak menurut sahaja kehendak Najib. Jika dasar ini dilaksanakan bersama Model Ekonomi Baru, maka rakyat negara ini akan lebih sengsara. Ketiadaan syarat ekuiti tempatan akan menyebabkan pasaran negara akan datang dimonopoli oleh pelabur dan perniagaan asing. Dan pastinya mereka tidak peduli kesusahan rakyat dinegara ini dan mereka boleh kuasai harga jual beli pasaran dalam negara dengan mudah. Jika mereka naikan harga, maka nilai 4 peratus cukai GST juga naik. Kerajaan tidak mampu kawal perkara ini, malah Kerajaan kini cuba juga untuk hapuskan subsidi bagi melepaskan diri dari tanggungjawab membantu rakyat. Jadi bayangkanlah harga gula, beras, minyak tanpa subsidi tapi ditambah dengan cukai GST 4 peratus.

Tidak cukup dengan itu, dengan begitu banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), pelabur dan peniaga tempatan juga akan bungkus kerana tidak dapat bersaing kerana harga barang mereka akan jadi lebih mahal jika dicampur dengan GST, berbanding harga barang China yang lebih murah kos pembuatannya.

Jadi, GST bukan sahaja akan beri kesan kepada Kakitangan kerajaan, ia akan memberikan kesan kepada seluruh sistem ekonomi negara. PAS tetap akan menentang dasar ini untuk kepentingan rakyat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Saturday, April 03, 2010

Sekitar Mesyuarat Agung Pas Kawasan Temerloh

Pas kawasan Temerloh hari ini berjaya mengadakan Mesyuarat Agungnya utk kali yg ke 23.Mesyuarat dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato` Taqiyuddin Hassan.Beliau banyak menekankan aspek2 pengurusan sesuai dgn latar belakang beliau yg selalu memegang jawatan Setiausaha.
Sebelum itu ucapan aluan oleh Ustaz Abdul Rahim Latif selaku YDP Kawasan Temerloh.Para perwakilan dan pemerhati dari seluruh kawasan Temerloh memenuhi Balai di Sg Gau ini.

Thursday, April 01, 2010

MODEL EKONOMI BARU


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.


Sesebuah negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.



MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam. Objektif ini sangat murni – tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar.



MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri , di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.



Apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.



Selain dari itu juga, penerusan sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

15 Rabiul Akhir 1431 / 31 Mac 2010