Monday, May 31, 2010

Konvoi GAZA : PAS kutuk serangan Israel, Negara Umat Islam digesa putus hubungan dengan Israel

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan helikopter tentera Israel yang menyebab 16 orang anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara meninggal dunia dan hampir 30 orang cedera. Rakyat Malaysia antara yang dilaporkan terkorban dalam serangan barbarian ini.

Konvoi bantuan untuk rakyat Gaza yang mengandungi 7 buah kapal ini telah memulakan perjalanan dari Laut Mediterranean tetapi mula dikepung oleh tentera Israel dan setakat ini hanya Kapal Mavi Marmara sahaja yang melaporkan diserang.

Kapal-kapal ini turut membawa ahli-ahli parlimen dari Malaysia, Eropah dan beberapa negara lain dan mereka kini berdepan dengan serangan yang lebih berat dari regim Israel.

PAS berharap agar Kerajaan Malaysia, OIC dan anggota PBB lain bangkit mengutuk tindakan ganas Israel ini dan menuntut agar kapal-kapal ini dibenarkan masuk menghantar bantuan ke Gaza. Satu persidang khas OIC perlu dilakukan segera bagi membincangkan hal ini.

PAS juga meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine. Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini dan satu demontrasi besar bersama NGO dan penyokong solidariti Palestin akan diadakan pada 4 Jun 2010 (Jumaat) dihadapan kedutaan Amerika selepas solat Jumaat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, May 24, 2010

Mangsa Lemas Sungai Semantan Ditemui

TERKINI : Kg. Tanjung Lalang : Mangsa lemas, Tamil Selvam A/L Ahri telah ditemui oleh para penyelamat pada jam 10.45 pagi, dekat sini. Ketika ini, mayat telah dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat.

Maklumat lanjut menyusul kemudian.


Pemuda India Dipercayai Mati Lemas di Sungai Semantan




Ahad, 23 Mei 2010, Kg. Lompat : Seorang pemuda berketurunan India dipercayai mati lemas apabila terjatuh ke dalam Sungai Semantan, jam 3.00 petang. Operasi menyelamat agak lewat dimulakan kerana kelewatan pelaporan kepada orang-orang kampung.

Bersama-sama ini disertakan gambar-gambar semasa meninjau operasi menyelamat mangsa lemas seorang remaja India di Sungai Semantan berhampiran Kg. Lompat pada 24 Mei 2010 sekitar jam 9.00 pagi bersama Yang DiPertua dan Setiausaha PAS Kawasan Temerloh.

YDP PAS Kawasan Temerloh telah diminta membacakan doa sebagai memulakan operasi mencari pada hari itu.

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Temerloh.


Sunday, May 23, 2010

PAS kesal Najib Halang Siasatan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghalang usaha rakyat menuntut satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyiasat dakwaan Barry Wain.

Semalam Barry Wain mempertahan fakta bukunya 'Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times' dan turut menyatakan beliau mempunyai bukti yang kuat bahawa Mahathir telah menyelewengkan wang negara lebih dari RM 100 Bilion.

Pada Disember tahun lepas Najib menyebut;

"Tak wajar dicadangkan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku. Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar. Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh,”

Ini adalah satu alasan yang cuba melindungi Mahathir dan kepentingan Umno. Najib bersubahat dalam hal ini begitu juga mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka turut menyambung legasi penyelewengan Mahathir.

Sehingga kini Umno gagal menyangkal dakwaan Wain bahawa bangunan PWTC yang mereka duduki sekarang adalah hasil dari wang rakyat yang diselewengkan. Malah dakwaan Wain bahawa ketika Daim menjadi Menteri Kewangan terdapat satu akaun dana politik khas diperuntukan untuk Umno bernilai puluhan juta juga tidak dinafikan oleh mana-mana pemimpin Umno.

PAS persoalkan kenapa Najib begitu takut untuk membenarkan hal ini disiasat oleh Suruhanjaya Diraja?

Rakyat menghargai sumbangan Mahathir, tetapi itu bukan alasan untuk menyembunyikan fakta penyelewengan yang telah dilakukan dan disambung oleh pemimpin selepasnya.
Rakyat menuntut satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menyelamatkan wang negara dari terus diselewengkan oleh Umno-BN. Dakwaan Wain harus disiasat dan segala dokumen yang beliau miliki harus didedahkan.

Monday, May 17, 2010

SUKAN PASTI NEGERI PAHANG

Pesta Sukan Pasti Malaysia peringkat negeri Pahang pada tahun ini memilih Temerloh sebagai tuan rumah bertempat di Taman Awam Kubang Gajah.Program dirasmikan oleh Pengarah Pasti Malaysia, Cikgu Azrin.Sementara itu, Pengarah Pasti Pahang, Cikgu Rozlan mengucapkan terima kasih kpd Majlis Perbandaran kerana membenarkan pihak Pasti menggunakan Taman Awam tersebut.


Tahniah kpd Pasti Temerloh kerana muncul juara dlm sukan bolajaring, walaupun tewas pada peringkat separuh akhir dlm sukan bolasepak.Juga sekalung tahniah kpd Pasti Indra Mahkota yg menjuarai bolasepak.


Pada malam sebelumnya, Cikgu Azrin merasmikan Majlis Makan Amal yg dianjurkan oleh Pasti Az-Zahra` di Dewan Orangramai Taman Temerloh Jaya.Majlis tersebut diadakan utk mengumpul dana bangunan Pasti Az-Zahra` yg menampilkan Persembahan dari Kumpulan Huffaz, Masabry dan Qamarul Raihan serta anak2 Az-Zahra`.

Sunday, May 09, 2010

Umno Mahu Jadikan Malaysia Serambi Las Vegas


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.

Hal ini sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan pula.

Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.

Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama negara juga.

Rakyat Kelantan khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu di negeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.

Disebabkan gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.

Mungkin tindakan ini terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.

Oleh itu, Awang Adek cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak PRU-12.

Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama' dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini.

Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

PAS berharap agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini mampu melangkah jauh ke hadapan.

Wednesday, May 05, 2010

PAS Mahu Forum Ekonomi Islam Dunia Boikot APCO-Israel


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic Economic Forum -WIEF) kali ke-6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 18-20 Mei 2010 membincangkan beberapa isu berkaitan hubungan ekonomi negara-negara Islam dengan Israel secara serius.

Forum yang dihadiri oleh ketua-ketua negara yang majoriti rakyatnya Islam harus melihat perkara ini sebagai isu bersama. Jika di Malaysia kita dikejutkan dengan hubungan kayu tiga Malaysia-Israel melalui promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, syarikat perunding APCO worldwide, Satchi & Satchi serta pelbagai pertemuan sulit pemimpin Umno dan Menteri Israel.

Di negara lain pula ada yang secara terbuka menjalikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel seperti Indonesia, Turki, Jordan, Mauritania dan beberapa lagi negara.

Perkara ini harus diperhalusi oleh setiap ketua-ketua negara yang kononnya menjadi kumpulan simpatisan kepada Palestin yang dizalimi Israel sedangkan mereka semua termasuk Kerajaan BN Malaysia bersekongkol untuk menyokong Zionis Israel. Mereka kena boikot Israel dan semua syarikat yang ada hubungkait dengan pelobi Israel termasuk APCO.

PAS yakin umat Islam seluruh dunia menuntut keikhlasan ketua-ketua negara Islam untuk melihat apa yang dilakukan oleh regim Zionis Israel kepada Palestin dan segera memulaukan negara haram yang tidak berdaulat itu.

PAS mahu pemimpin-pemin Islam secara terbuka menyatakan komitmen mereka dalam Forum ini untuk menekan Israel sebagaimana Israel kini melobi dengan kuatnya di Majlis Keselamatan PBB untuk menkan negara Iran yang menjadi ancaman mereka.

PAS juga mahu, negara-negara Islam menyatakan pendirian mereka terhadap isu di Iraq, Afghanistan dan terkini di Iran. PAS mahu, ketua-ketua negara Islam menunjukan bahawa mereka boleh bersatu mempertahankan Iran dari dikenakan sekatan ekonomi. Inilah masanya untuk mereka menunjukan kepada dunia bahawa mereka bukan budak suruhan Amerika.

PAS menanti reaksi Kerajaan Malaysia dan persiapan Forum ini. Diharapkan forum yang akan memfokuskan 8 perkara melibatkan soal pelancongan, Logistik, SMEs, pengurusan air, penjenamaan, teknologi pendidikan, keusahawanan dan etika perniagaan, inovasi dan perbankan Islam ini tidak menutup mata dan pemikiran mereka dari memikirkan soal kezaliman Israel kepada Palestin.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, April 09, 2010

SEBELUM BERJANJI DI HULU SELANGOR: SELESAIKAN MASALAH SEKOLAH BOCOR DI SJKT BUKIT DARAH.


Parti Islam Se-Malaysia Pas (PAS) mendesak supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya menyelesaikan masalah sekolah SJKT di Bukit Darah dekat dengan Sungai Buluh. Sekolah yang begitu dhaif dengan bumbung bocor dan struktur bangunan yang merbahaya kepada pelajar.

Menurut laporan Utusan Malaysia online (6/4/10) Guru Besar SJKT Bukit Darah, A. Rajendra Devi berkata dia mula mengenalpasti keadaan itu sejak memulakan tugas di situ pada tahun 2006. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja dihadapi murid-murid tetapi juga guru-guru kerana setiap kali musim hujan ia begitu membimbangkan.Beliau mengakui agak terkejut dengan maklum balas yang diterima bahawa peruntukan RM150,000 untuk sekolah berkenaan telah habis digunakan.

Apakah pihak kerajaan Umno/BN akan memperbaiki apabila ada pilihanraya kecil sahaja. Pemimpin Umno/BN menjadi buta mata apabila tidak ada pilhanraya kecil, mereka celik hanya apabila ada pilihanraya. Malahan ada bangunan sampai berkali-kali dirasmi sempena kempen pilhanraya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengharapkan pemimpin Umno/BN jangan menambahkan senarai yang bakal tidak ditunaikan kepada rakyat dalam setiap kali pilihanraya kecil. Walaupun peruntukan sudah diluluskan sebanyak RM150 ribu, namun tidak ada apa-apa perubahan fizikal yang dibuat. Pas meminta supaya satu siasatan mesti dibuat untuk menyiasat perkara ini. Pihak SPRM mesti bertindak untuk menyiasat laporan mengenai peruntukan wang sudah diluluskan tetapi projek tidak berjalan dan wang sudah habis.

PAS ingin menasihati pemimpin Umno/BN usahlah berjanji banyak sangat dalam pilhanraya kecil Hulu Selangor ini. Jangan menambahkan senarai pembohongan dan janji kosong dalam setiap kali pilihanraya. Kalau SJKT yang sudah lama pun tidak terbela bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin boleh berjanji untuk mendirikan empat sekolah baru di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

PAS mengharapkan semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor sekali lagi bangkit menolak calon BN, supaya tercatat lagi satu sejarah keberanian pengundi di Hulu Selangor yang akan menjadi guru politik di negara ini. Bahasa undi sahaja yang pemimpin yang rakus ini boleh faham, mereka tidak faham dengan undang-undang, tidak faham dengan dialog ilmiah, tidak faham dengan teguran di parlimen tetapi akan faham dengan bahasa undi.



Ustaz Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan Pas Pusat

Tuesday, April 06, 2010

Lagi gambar2 Mesyuarat Agung Pas Temerloh

YDP Pas Temerloh, Ustaz Rahim Latiff sedang menyampaikan ucapanya.


Turut serta ialah Tuan Syed dari Pejabat Agung Pas Pusat ( Dihadapan bersongkok)


Ustaz Osman Mempengerusikan mesyuarat menggantikan Pengerusi Tetap yg tidak hadir.



Monday, April 05, 2010

Najib Akui Kerajaan Tiada Duit


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) persoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui bahawa asas perolehan negara pada masa ini tidak kukuh dan Kerajaan tidak mampu untuk membayar gaji penjawat awam, sedangkan pada akhir tahun lepas kerajaan bangga mengumumkan bahawa ekonomi berkembang dengan baik iaitu 4.5 peratus dan tahun ini dijangka melebihi 5.5 peratus pula.

Najib terdesak membuat pengakuan itu demi untuk menarik perhatian kakitangan awam untuk menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditolak oleh majoriti rakyat. Kenyataan Najib itu membuka pekung pemerintahannya yang kini sedang sibuk menabur duit di Hulu Selangor sempena pilihanraya kecil.

Tindakan Najib memaksa kakitangan awam menyokong dasar ini secara membuta tuli adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini dimana setiap warganegara berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu menyokong atau tidak.

Tidak guna gaji kakitangan Kerajaan dinaikan sedangkan dalam masa yang sama cukai GST diperkenalkan. Jika GST dilaksanakan, keadaan ekonomi kakitangan awam mungkin lebih teruk kerana kenaikan gaji hanya sekitar RM200-RM500 sahaja sedangkan pertambahan kos sara hidup berkemungkinan meningkat lebih dari kadar itu.

Najib juga dilihat zalim kerana menjadikan kakitangan kerajaan sebagai 'hamba' yang kena terima apa sahaja yang kerajaan ingin lakukan. Oleh itu, kakitangan kerajaan harus bijak dan menolak dasar ini. Kerajaan boleh tangguhkan kenaikkan gaji sehingga ekonomi pulih sepenuhnya tanpa perlu perkenalkan cukai baru.

Jika GST dilaksanakan, bukan sahaja 1.2 juta kakitangan awam akan jadi mangsa, lebih 25 juta rakyat Malaysia akan terima kesannya. Pekerja swasta yang tidak mendapat kenaikan gaji akan menerima kesan yang lebih teruk, kerana kos hidup mereka secara purata bertambah 4 peratus.

Oleh itu PAS berharap agar kakitangan Kerajaan tidak menurut sahaja kehendak Najib. Jika dasar ini dilaksanakan bersama Model Ekonomi Baru, maka rakyat negara ini akan lebih sengsara. Ketiadaan syarat ekuiti tempatan akan menyebabkan pasaran negara akan datang dimonopoli oleh pelabur dan perniagaan asing. Dan pastinya mereka tidak peduli kesusahan rakyat dinegara ini dan mereka boleh kuasai harga jual beli pasaran dalam negara dengan mudah. Jika mereka naikan harga, maka nilai 4 peratus cukai GST juga naik. Kerajaan tidak mampu kawal perkara ini, malah Kerajaan kini cuba juga untuk hapuskan subsidi bagi melepaskan diri dari tanggungjawab membantu rakyat. Jadi bayangkanlah harga gula, beras, minyak tanpa subsidi tapi ditambah dengan cukai GST 4 peratus.

Tidak cukup dengan itu, dengan begitu banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), pelabur dan peniaga tempatan juga akan bungkus kerana tidak dapat bersaing kerana harga barang mereka akan jadi lebih mahal jika dicampur dengan GST, berbanding harga barang China yang lebih murah kos pembuatannya.

Jadi, GST bukan sahaja akan beri kesan kepada Kakitangan kerajaan, ia akan memberikan kesan kepada seluruh sistem ekonomi negara. PAS tetap akan menentang dasar ini untuk kepentingan rakyat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Saturday, April 03, 2010

Sekitar Mesyuarat Agung Pas Kawasan Temerloh

Pas kawasan Temerloh hari ini berjaya mengadakan Mesyuarat Agungnya utk kali yg ke 23.Mesyuarat dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato` Taqiyuddin Hassan.Beliau banyak menekankan aspek2 pengurusan sesuai dgn latar belakang beliau yg selalu memegang jawatan Setiausaha.
Sebelum itu ucapan aluan oleh Ustaz Abdul Rahim Latif selaku YDP Kawasan Temerloh.Para perwakilan dan pemerhati dari seluruh kawasan Temerloh memenuhi Balai di Sg Gau ini.

Thursday, April 01, 2010

MODEL EKONOMI BARU


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.


Sesebuah negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.



MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam. Objektif ini sangat murni – tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar.



MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri , di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.



Apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.



Selain dari itu juga, penerusan sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

15 Rabiul Akhir 1431 / 31 Mac 2010

Wednesday, March 31, 2010

MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN TEMERLOH

Tarikh : 3 April 2010
Masa : 9 Pagi
Tempat : Darul Amin, Sg Gau
Semua dijemput hadir beramai2

Tuesday, March 30, 2010

BUANG BAYI : APA YANG PAS TELAH USAHAKAN


Nampaknya semula media arus perdana memfokuskan isu pembuangan bayi di negara ini. Seperti biasa pemimpin negara mengecam perbuatan tersebut dengan ucapan yang menggambarkan kekesalan terhadap gejala tersebut, ada yang sebak menangis mengenangkan peristiwa tersebut.

Saya mendapat respon banyak dalam Facebook saya, apa pula yang PAS buat untuk mengatasi masalah ini. Apakah PAS hanya pandai menyalahkan pihak kerajaan sahaja dalam isu ini. Inilah nasib malang PAS kerana apa yang PAS buat tidak diketahui oleh masyarakat. Media perdana tidak menyebelahi PAS, sehingga masyarakat tidak mengetahui apa yang PAS buat. Mereka menganggap bahawa PAS hanya sebuah parti politik untuk mendapat kuasa sahaja. Seolah-olah PAS tidak memperdulikan persoalan, moral dan akhlak remaja.

Saya ingin tegaskan sebagai sebuah parti Islam dasarnya ialah Islam dalam perkara 3 “Dasar Pas ialah Islam”. Maka jelaslah bahawa Islam yang hendak ditegakkan berbeza dengan apa yang hendak dipejuangkan oleh Umno/BN di negara ini. PAS bukan sahaja sebagai parti politik tetapi ia adalah Gerakan pelitik dan gerakan Dakwah. Walaupun aktiviti Pas nampak lebih menonjol dalam politik, sebenarnya PAS juga sebagai gerakan dakwah. Justeru itu walaupun tarikh pilihanraya masih jauh, sebagai gerakan dakwah terus berjalan sebaik sahaja pintu pagar tempat mengundi ditutup. Dalam erti kata yang lain PAS akan bergerak sebagai sebuah parti Islam bagi menyebarkan risalah Allah di muka bumi ini.

PAS menggunakan pendekatan dalam membendung gejala buang bayi ini dengan kaedah mencegah dan menguatkuasakan undang-undang. Ada tohmahan PAS hanya hendak pakai undang-undang tanpa mendidik. Maka di bawah ini adalah jawapannya.

Antara program yang dilakukan untuk membendung gejala yang tidak bermoral supaya tidak berlaku pembuangan bayi ialah;

-Kuliah-kuliah yang mengisi kefahaman Islam dan penghayatan melalui ustaz dan tenaga pengajar PAS di masjid dan di surau. Pendidikan supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam. Kerana penghayatan agama adalah benteng yang paling kukuh dalam memerangi gejala ini.

-Pemuda Pas melalui program “Duta Penyelamat” yang turun berjumpa secara langsung dengan golongan muda mudi. Berjumpa dengan mereka yang duduk berduan yang boleh menjurus kepada perzinaan dengan penuh kasih sayang, menasihati mereka supaya mereka tidak melakukan perbuatan yang menghampiri zina.

-Pemuda dan Nisa’ turun ke padang bertemu dengan remaja yang datang ke tempat bandar besar pada hari keramaian seperti awal tahun baru dan sambutan kemerdekaan. Remaja dibekalkan dengan risalah kesedaran untuk mereka menjadi manusia yang jauh daripada perbuatan zina. Kerana malam itu ialah malam pesta anak muda yang menggerunkan kita sebagai orang yang beriman dan bimbnag tentang masa depan mereka.

-Di Kedah ada satu NGO yang dikendalikan oleh ahli PAS membuat kerja lapangan yang begitu menakjubkan iaitu LANDAS yang berpusat di Sungai Petani. Kumpulan ini telah bertindak membimbing mereka yang terjebak dengan kehancuran hidup seperti dadah, arak, pelacur. Mereka turun dengan bersemuka dan cuba membimbing mereka untuk kembali ke pangkal jalan.

-Di Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamanahkan kepada Exco Pas Dr Halimah untuk mengendalikan Program Pembangunan Modal Insan dengan kewujudan SPIES (Spirtual, Physical,Intellectual, Emotional, Social). Semua acuan yang dibuat melalui program belia remaja adalah menjuruskan kepada pembinaan jati diri remaja di negara ini.

-Di Kelantan adanya Unit Belia, untuk mengendalikan program belia seperti bina insan, sukan rekreasi, kursus motivasi

-Program hidup sihat diperkanalkan supaya hidup remaja terisi dengan memperkenalkan program sukan melaui Lajnah Sukan Dan Rekreasi Pemuda. Ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dalam Islam juga ada sukan dan PAS bukan anti sukan.

-Kempen jauhi arak telah dibuat, kerana arak adalah ibhu segala maksiat yang boleh menjuruskan kepada perzinaan.

-Untuk mengelak supaya faktor rangsangan seks dapat diatasi, maka pihak Dewan Pemuda PAS pernah berjumpa dengan Kementerian Dalam Negeri dengan membawa contoh majalah lucah yang bercambah di pasaran untuk dijadikan bukti supaya pihak KDN bertindak, malangnya dijawab kalau rakyat kita kuat iman maka tidak menjadi masalah. Pas bimbang majalah seperti ini yang merangsang nafsu seks kepada pembaca. Kalau yang boleh pihak kerajaan kawal pun mereka tidak buat apa-apa, apa tah lagi hendak diharap untuk kawal alam siber.

- Kempen supaya mengalakkan budaya hedonism di lancarkan supaya rakyat terutama remaja dapat mengelak untuk mendekati dengan budaya yang tidak sihat.

-PAS telah melatih anak-anak kecil lagi melalui pendidikan pra sekolah, sejak umur 4 tahun melalui Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Anak-anak kecil diajar supaya memakai pakaian menutup aurat, cintakan akhlak Nabi, doa dan hafalan ayat-ayat lazim. PAS menganggap mereka ialah generasi yang akan mewarnai zaman akan datang.

-Kelantan memperkenalkan kaunter berasingan di pasaraya. Semua ini sebagai langkah menutup pintu perzianaan.

-Kelantan mengadakan setiap tahun sepanjang bulan Rejab kempen bulan solat. Kerana solat adalah kunci untuk tidak mekakukan kemungkaran. Walaupun usaha ini dipandang remeh tetapi mempunyai impak yang besar.

-Beberapa program smart Muslim dan Smart Solat diadakan untuk melahir generasi yang bertaqwa kepada Allah dan mempunyai jati diri yang kental.

-Setiap kali cuti persekolahan panjang, PAS telah mengadakan Kem Pembinaan Iman selama 2 hari semalam. Program yang terbuka kepada semua remaja yang berumur 12 tahun sampai 20 tahun.Pengisian ceramah, bengkel, motivasi pelajar cemeralang, qiamullai, tilawah al-Quran.

-Program Unit Amal dan Nisa’ sebagai satu program alternatif kepada remaja untuk program luaran yang bersifat rekreasi dan bersantai. Sudah tentu ia satu kelainan dengan Rakan Muda dan PLKN.

-Setiap PAS negeri ada program yang tersendiri untuk memastikan remaja belia terbimbing. Contohnya di Kedah ada Kem Bina Shakhsiah. Program yang boleh dijadikan satu alternatif yang menjuruskan kepada pembinaan iman dan taqwa serta kekuatan fizikal.

-Usrah remaja diwujudkan disetiap cawangan PAS, untuk memberi kefahaman Islam kepada remaja. Pengisian ibadat, akhlak dan adab pergaulan ditekan kepada mereka.

Mungkin orang mempertikaikan kenapa gejala tidak bermoral juga berlaku di Kelantan dan negeri yang PAS kuasai. Jawapannya kerana kuasa negeri amat terbatas, banyak peraturan dikuasai oleh kerajaan pusat. Banyak kuasa seperti polis, kastam, imigresen, Badan Pencegah Rasuah di bawah kuasa pusat. Rangkaian TV dibawah kerajaan Umno/BN, sistem pendidikan kebangsaan di bawah Umno, akta cetak yang membenarkan majalah hiburan di bawah Umno. Secara keseluruhannya ini adalah kegagalan Umno dalam menangani isu ini. Malahan Umno menjadikan ini sebagai senjata untuk terus melekakan rakyat supaya rakyat tidak mempedulikan penyelewingan dan kegagalan mereka menguruskan negara. Mereka tahu apabila belia dilekakan, maka mudahlah mereka mendapat sokongan dan undi dalam pilihanraya.

Sekurang-kurangnya PAS dengan berbagai kekangan telah berusaha membendung supaya menutup pintu perzinaan yang berakhir dengan pembuangan bayi. Mungkin banyak lagi kekurangan dalam program yang perlu diperbaiki. Walau bagaimanapun usaha PAS adalah lebih baik daripada apa yang kerajaan umno/bn lakukan sehingga keadaan semakin parah.

Ust. Idris Hj Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tuesday, March 16, 2010

IJTIMA` PAS KAWASAN TEMERLOH

Program "Jom Sertai Pas" melabuhkan tirainya malam tadi dengan berlangsungnya Ijtima` Pas Kawasan Temerloh yg diadakan di Markaz Darul Amin Sg Gau.Program Ceramah Perdana selama dua hari berturut-turut menampilkan tokoh2 Pas Pusat dan pimpinan keadilan.
Ayam Sabung Pas, Haji Mat Sabu ternyata seorang tokoh yg masih dapat mengumpulkan ribuan hadirin yg berpusu2 ketapak ceramah malam tadi.
Sebelum itu YB Tian Chua menyampaikan ucapan yg begitu baik berkisar mengenai kebobrokan BN yg merompak harta kekayaan negara sehingga negara hampir Muflis.


Kemunculan YB Khalid Samad berceramah mendapat perhatian ramai setelah bertambah popular selepas dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Pas Pusat.Tetapi orang ramai terpegun setelah melihat betapa mesranya beliau setelah bertemu dengan Pengerusi Displin di Pentas.Inilah contoh kepimpinan Pas yg tidak ada dlm lain2 kepimpinan.
Exco Negeri Kelantan, Dato` Hj Husam Musa berceramah sebagai penceramah utama pada malam sebelumnya.Beliau mengupas isu2 semasa termasuk mengenai Royalti Minyak.
Turut berceramah pada malam tersebut ialah Hanipa Maidin, Ahmad Nizam Hamid dan YDP Temerloh, Ustaz Abdul Rahim Abdul Latif.Turut berada dipentas ialah wakil Pemuda Selatan Thailand.Program dipengerusikan oleh Ketua pemuda Pas Temerloh, Ustaz Hj Jauhari Ishak.

Wednesday, March 10, 2010

Mazlan Aliman ditangkap di Raub



Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman, sebentar tadi mengesahkan bahawa beliau ditangkap dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak) berkata, polis tidak memberitahunya sebab beliau ditangkap.

Pun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan penangkapan itu ada kaitan dengan ceramah politik di Felda Klau, Raub petang tadi.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudddin Ayub berkata, pihak polis wajib menjelaskan tujuan penangkapan tersebut.

"Sebagai rakyat, Mazlan sendiri wajib diberitahu sebab penangkapan beliau, itu hak asasi mereka yang polis tak boleh nafikan," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Penangkapan itu, menurutnya sekaligus mengakibatkan rakyat bertambah benci kepada Umno dan BN sendiri.

Tuesday, March 09, 2010

IJTIMAK PENERANGAN PAS TEMERLOH


Pada 14 dan 15 Mac 2010 ini, satu program yang diberi nama Ijtimak Penerangan PAS Temerloh akan diadakan di pelbagai lokasi di sekitar Perlimen Temerloh. Ijtimak ini adalah sebagai majlis penutup bagi program "Jom Sertai PAS" yang telah berlangsung sejak Disember 2009.

Perancangan awalnya, Ijtimak ini diadakan pada 26 - 28 Februari 2010 yang lalu, namun disebabkan tarikhnya bertembung dengan Ekspo Penerangan PAS Pahang di Kerdau maka PAS Temerloh terpaksa menangguhkannya.

Antara aktiviti utama yang dirancang ialah Ceramah Perdana yang melibatkan nama-nama besar dalam arena politik Malaysia hari ini. Selain itu, pihak Majlis Tindakan Dun Kuala Semantan akan menganjurkan Jamuan HiTea dan Dialog serta Kutipan Dana PRU13.

Pihak Dewan Pemuda pula menganjurkan Kejohanan Futsal yang akan berlangsung di Gelanggang Futsal Bukit Tingkat, jalan Songsang. Majlil Tahlil Perdana pula akan diuruskan oleh Lajnah Tarbiah dan Dewan Ulama. Dewan Muslimat pula akan mengadakan aktiviti yang bersesuaian dengan muslimat.

Ijtimak ini juga adalah program terakhir PAS Kawasan Temerloh sebelum Mesyuarat Agung yang akan berlangsung pada awal April 2010. Semoga semua dapat memberi yang terbaik untuk diri dan jemaah kerana sesungguhnya, segala amalan kita akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Wallahua'lam.

Sunday, March 07, 2010

PAS nekad bantah GST, pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan Barisan Nasional yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011 bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia.

Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama.


Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.


Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.


GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai.


Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran.

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.


Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.


Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.


Ust Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tuesday, March 02, 2010

EXPO PENERANGAN PAS PAHANG

Expo Penerangan Pas Pahang diadakan di Kerdau baru2 ini.Program selama 3 hari ini dirasmikan oleh Presiden Pas Dato` Seri Abdul Hadi Awang.Turut berceramah pada malam tersebut ialah Dato` Tuan Ibrahim,YB Leong Ngah Ngah dan En Balasubramaniam.Juga dilancarkan Dewan Penyokong Pas dan lain2 acara.
Malam kedua memang dinantikan oleh banyak pihak kerana diadakan acara kebudayaan melibatkan pelbagai bangsa.Acara dimulakan dengan persembahan dari kumpulan Huffaz dari Maahad Tahfiz Berhala Gantang, seterusnya persembahan dari artis solo dari Taman Sri Kemuning,kemudian diikuti oleh Tarian Tabla India.Dikir Barat Sri Jenderak dari Kuala Krau mengambil giliran dgn persembahan mantap mereka seterusnya mereka mengiringi Juara Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan yg di dtgkan khas dari Johor.Acara kemuncak pada mlm itu ialah persembahan Puisi oleh Sasterawan Negara, Dato` A Samad Said.
Malam terakhir Ceramah perdana dijayakan oleh YB Nasarudin Mat Isa, YB Saifudin Nasution dan Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sepanjang hari diadakan Pameran dan jualan oleh Pas Kawasan2 disamping gerai jualan individu yg ternyata memeriahkan Expo selama 3 hari ini.